Lebih 11 Ribu Tandatangan Petisyen Gesa Keadilan Buat Pemuda Autistik

SHAH ALAM – Ribuan tandatangan diterima selepas satu petisyen dilancarkan bagi menuntut keadilan buat pemuda autistik yang didakwa mencabul seorang wanita, minggu lalu.

Petisyen yang dilancarkan oleh Persatuan Anak Sabah pada hari Isnin (17 September) dan dimuat naik di laman sesawang change.org, menerima lebih daripada 11,300 tandatangan dalam masa 17 jam.

Penandatangan petisyen menyatakan sokongan moral terhadap pemuda autistik berusia 22 tahun itu, Ahmad Ziqri Morshidi, dan mendakwa dia adalah mangsa ekoran sikap kurang cakna masyarakat terhadap autisme. 

“Ahmad Ziqri mempunyai keupayaan mental yang lebih muda daripada umur sebenarnya dan tidak dapat memproses apa yang berlaku,” kata petisyen yang ditujukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Polis Negara itu. 

Menurut petisyen itu juga, sungguhpun kesedaran orang ramai terhadap autisme telah meningkat, namun hanya segelintir sahaja yang benar-benar prihatin mengenainya, sekaligus membawa kepada salah faham terhadap tingkah laku penghidap penyakit tersebut.

Petisyen itu meminta pihak berkuasa bekerjasama dengan psikiatri, ahli psikologi, dan ibu bapa yang mempunyai anak autisme dalam melaksanakan protokol undang-undang.

Petisyen itu juga mencadangkan supaya gari digunakan hanya sebagai usaha terakhir ketika berurusan dengan individu sedemikian bagi mengelakkan hal lebih rumit berlaku, memandangkan golongan ini cenderung mencederakan diri, kejang dan bertindak agresif.

Pada 11 September lalu, Ahmad Ziqri ditahan polis kerana meraba dada seorang wanita berusia 24 tahun dalam satu kejadian di sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B. 

Kejadian itu menyebabkan ibu bapa kepada wanita berkenaan membuat laporan polis ekoran anak mereka dicabul. 

Pemuda itu terpaksa bermalam di lokap sebelum dibawa ke mahkamah keesokannya untuk direman. Bagaimanapun mahkamah pada 12 September telah membenarkan Ahmad Ziqri diikat jamin selepas menolak permohonan tahanan reman 4 hari oleh polis. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.