Tuduhan Anina ‘Tidak Berapa Tepat’, Kata Muhyiddin

Tuduhan pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin yang baru-baru ini mengundurkan diri daripada parti itu “tidak berapa tepat”, kata presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Anina ada berjumpa dengannya beberapa bulan lalu untuk menyatakan niat mengundurkan diri, tetapi beliau tidak membangkitkan isu mengenai kepimpinan parti ketika itu.

“Ini adalah pilihan beliau. Segala kenyataan-kenyataan yang beliau buat dalam itu tidak beberapa tepat kerana beliau pernah datang jumpa saya beberapa bulan yang lalu menyatakan hasratnya untuk berhenti dan mungkin keluar dari parti.

“Saya tanya apakah sebab begitu. Dia kata dia menghadapi masalah yang cukup banyak: Tak ada duit, tak ada kerja.

“Tak ada sebut soal berkaitan dengan sikap saya ke, Tun ke, siapa-siapa pemimpin. Walaupun beliau tidak lagi ketua Sri Kandi, dia masih duduk dalam majlis pimpinan tertinggi.

“Tetapi malangnya, untuk beberapa bulan, tiap-tiap mesyuarat dia tidak pernah hadir,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Muhyiddin, walaupun Anina adalah ahli majlis tertinggi BERSATU, beliau gagal
menghadiri mesyuarat parti selama beberapa bulan.

Muhyiddin bercakap di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini selepas menghadiri prosiding siasatan suruhanjaya diraja (RCI) berhubung kerugian pertukaran asing Bank Negara pada 1980-an.

Dua hari lalu, Anina mengumumkan keputusannya untuk keluar dari parti dan berkata beliau akan terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam melalui sebuah NGO, yang beliau akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam kenyataannya, beliau mendakwa bahawa BERSATU ditadbir oleh pemimpin yang tidak dapat menerima kritikan.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.