TNB Terus Memainkan Peranan Aktif Dalam Memperkukuhkan RE

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil alih aset tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 600 megawat (mW) di United Kingdom (UK), Turki dan India.

Menurut syarikat utiliti itu, ia melibatkan aset portfolio utama bagi solar, angin dan hidro yang diambil alih sejak dua tahun lalu dalam usahanya memperkukuhkan segmen perniagaan RE di pe­ringkat antarabangsa.

Jelasnya, TNB akan terus memainkan peranan aktif bagi menyokong agenda negara dalam memperkukuhkan RE sama ada di peringkat domestik mahupun di luar negara.

“Ini juga terbukti melalui pembentukan perbadanan utiliti negara secara usaha sama bagi stesen jana kuasa biomass di Jengka, Pahang bersama Felda; dua ste­sen janakuasa biogas di Layang-Layang, Johor dan Bagan Datuk, Perak bersama Sime Darby dan dua stesen jana kuasa biogas di Puchong dan Jeram, Selangor bersama Worldwide Holdings.

“Usaha sama dan pengambilalihan aset tenaga asing secara tidak langsung mencerminkan komitmen TNB untuk mengembangkan perniagaan RE dan muncul pelopor bagi usaha berkenaan di Malaysia dan rantau ASEAN,” jelas syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, TNB melancarkan pembinaan projek Solar Berskala Besar (LSS) yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan pelaburan keseluruhan berjumlah RM348 juta di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor.

Projek LSS berkapasiti 50 mW tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Solar Sdn. Bhd. selepas memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) awal Mac lalu untuk tempoh 21 tahun.

TNB Sepang Solar memperoleh pembiayaan dan modal kerja bagi projek tersebut daripada Affin Islamic Bank pada 19 Julai lalu.

Dengan keluasan 98 hektar, projek itu menjadi pemangkin aspirasi TNB dalam membangunkan projek-projek RE di Malaysia dan rantau ini.

Apabila siap pada November 2018, projek LSS akan menyediakan sebanyak 200,000 keping panel solar sekali gus meningkatkan kapasiti penjanaan RE TNB daripada 23.2 mW kepada 73.2 mW.

Menurut TNB, projek ber­kenaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan pendedahan pendidikan kepada orang ramai terutama kepada para pelajar mengenai teknologi solar dan pe­ngedalian projek tenaga solar. – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.