Suspek Pernah Bersekolah Tetapi Dibuang Akibat Masalah Disiplin

KUALA LUMPUR – Enam daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pernah bersekolah, namun mereka telah dibuang akibat masalah disiplin.

Seorang lagi berjaya menghabiskan persekolahan dan menyambung pelajaran di sebuah pusat latihan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ada daripada suspek berkenaan dikenal pasti tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang lama iaitu sejak 2012 sehingga tahun lalu.

“Mereka pernah bersekolah pada satu masa sahaja. Misalnya, ada suspek yang umurnya 16 tahun (sekarang) pernah bersekolah sehingga umur 13 tahun sahaja.

“Suspek lain juga lebih kurang sama. Kebanyakan mereka bersekolah awal. Namun, ada suspek yang berumur 18 tahun berjaya menghabiskan sesi persekolahan.

“Bagaimanapun, kesemua suspek kini tidak lagi bersekolah,” katanya dalam sidang akhbar program Sayangi Diri, Jauhi Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Saujana, hari ini.

Difahamkan, tiga daripada suspek berkenaan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, dua di SMK Padang Tembak dan dua lagi masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Keramat 1 dan SK Dato Keramat 2 – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.