PM Rasmi Sukan Para ASEAN KL2017

KUALA LUMPUR – Suasana gilang gemilang kembali mewarnai Stadium Nasional Bukit Jalil selepas 16 tahun Malaysia kembali menjadi tuan rumah kepada 1,421 atlet para yang akan bertanding di temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017).

Upacara perasmian dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera 11 negara Asia Tenggara yang menyertai temasya dwitahunan itu bersama dengan Bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dan bendera edisi kesembilan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), didahului oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Penganjuran yang bertemakan ‘Bangkit Bersama’ itu turut memperkenalkan maskot Rimau Para berkerusi roda.

Acara perarakan mengikut susunan abjad yang dimulai dengan perarakan masuk kontinjen Brunei yang diketuai oleh Rosmadee Md Daud bersama-sama 27 atlet, diikuti Kemboja dibarisi oleh Yi Veasna dan 70 atlet.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi secara rasmi mengisytiharkan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dirasmikan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Najib tiba pada 8.20 malam diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Selepas menyampaikan ucapan, Khairy menjemput Perdana Menteri untuk mengisytiharkan Sukan Para ASEAN (APG) ke-9 KL2017 dirasmikan.

Najib sambil berdiri di rostum berkata: ‘Dengan nama Allah, saya dengan ini mengisytiharkan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 dirasmikan.’

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pengangkutan Datuk Liow Tiong Lai, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) SM Nasarudin SM Nasimuddin adan penaung MPM Tun Jeanne Abdullah.

Edisi kesembilan Sukan itu yang akan berlangsung sehingga 23 Sept menghimpunkan kira-kira 1,421 atlet dari 11 negara iaitu Indonesia, Filipina, Singapore, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan tuan rumah Malaysia.

Sebanyak 368 pingat emas menjadi rebutan dalam 16 acara sukan iaitu jumlah acara sukan paling banyak yang dipertandingkan dalam sukan itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.