Pawang Maut Dibaham Buaya

Mayat seorang pawang maut akibat dibaham buaya ketika upacara untuk menangkap reptilia ganas berkenaan di sebatang sungai di Muara Jawa daerah Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur, berjaya ditemukan, malam tadi.

Mayat, Suprianto, 38, ditemui pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 9.45 malam, lapor Tribunnews, petik MD.

Mangsa, yang mengaku seorang pawang diterkam buaya pada Sabtu lalu ketika sedang melakukan upacara menangkap seekor buaya yang membaham seorang remaja, Arjuna, 16, pada Jumaat lalu.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan baik, kecuali pada bahagian kiri telinganya terdapat kesan luka dipercayai akibat gigitan buaya.

Difahamkan, mayat lelaki itu ditemui selepas beberapa pawang dan anggota penyelamat meninggalkan lokasi pencarian kerana terdapat keluarga yang dilaporkan dirasuk dipercayai disebabkan upacara di lokasi kejadian.

Panglima Kapal Polairud Polda Kalimantan Timur, Brigpol Yulianto Tono berkata, penemuan mayat pawang itu adalah secara tidak sengaja ketika sebahagian anggota penyelamat menuju ke tempat istirehat.

“Pada masa itu saya memang ke bot, sedang berjaga-jaga sambil berehat. Secara tiba-tiba saya ternampak bahagian punggung korban di situ,” katanya dipetik portal tersebut.

Insiden pawang dibaham buaya kecoh di laman sosial selepas rakaman video mangsa disambar buaya menjadi tular di laman sosial.

Berdasarkan rakaman, Suprianto berada di dalam sungai di lokasi seorang remaja yang dilaporkan hilang akibat diserang buaya. Dia menyelam sebelum timbul semula.

Ketika Suprianto berenang untuk ke lokasi lain, secara tiba-tiba dia tenggelam dipercayai disambar buaya yang mengheretnya ke dasar sungai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.