Kerajaan Jual Saham Syarikat Secara Senyap Tampung Kerugian Forex BNM – Saksi

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) atas urus niaga mata wang diberitahu penjualan saham-saham kerajaan dalam syarikat-syarikat tertentu kepada bank pusat dibuat secara rahsia.

Menurut saksi ke 22, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Othman Yusof berkata, ia adalah arahan pihak atasan bagi mengelakkan perkara itu diketahui umum.

“Penjualan saham-saham milik kerajaan perlu dilakukan secara ‘senyap-senyap’ melalui Rashid Hussein Sdn. Bhd.,” katanya kepada panel lima ahli RCI.

Justeru ahli panel, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan bertanya apa maksud ‘senyap-senyap’.

Othman menjawab: “Sebab tidak mahu umum kepada orang ramai. Surat saya tujukan kepada Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan,”.

Malah Tajuddin turut bertanya sama ada ‘pihak berkuasa atasan’ dimaklumkan mengenai keputusan sedemikian.

“Ya, keputusan dibuat rasa saya atas perbincangan tersebut,” katanya.

Terdahulu Othman berkata, satu pertemuan diadakan pada akhir November 1994 dan dihadiri timbalan gabenor bank, ketua setiausaha perbendaharaan, Clifford Herbert dan bekas pembantunya, Abdul Murad Khalid.

Prosiding hari ketujuh diteruskan dengan memanggil saksi ke 23, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. -MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.