Aznil Laris Pada Usia Emas

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Datuk Aznil Nawawi, berbesar hati kerana pada usia 55 tahun, khidmatnya masih ditagih dalam dunia hiburan tanah air.

Pada masa sama, beliau yang mesra disapa Pak Nil turut memanjatkan kesyukuran kerana terus diberikan tahap kesihatan yang baik sehingga mampu menjalankan segala amanah diserahkan kepadanya.

Ahad lalu, umpamanya, kira-kira sejam sebelum mengacarakan konsert AF Megastar di Shah Alam, Aznil terlebih dulu menjayakan acara Pembukaan Sukan Para ASEAN kesembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menerusi perkongsian di Instagram, Aznil turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, atas peluang diberikan kepadanya bagi sama-sama menjayakan acara berkenaan.

Pada acara pembukaan terbabit, Aznil mendendangkan empat lagu iaitu Seribu Impian, Gemilang, Gemuruh dan Jalur Gemilang, di samping Ida Nerina dan Ras Adiba Radzi.

“Alhamdulillah, selepas diberi kepercayaan untuk mengacara dan menghiburkan penonton di stadium sama ketika acara pembukaan serta penutup Sukan SEA 2017, baru-baru ini, saya sekali lagi diberi mandat mengadakan persembahan prapembukaan Sukan Para ASEAN, semalam.

“Sememangnya agak terkejar-kejar dari stadium ke lokasi konsert AF Megastar. Namun syukurlah saya berjaya sempurnakan kedua-dua acara sehabis baik.

“Penat memang penat, terutama pada usia sebegini, namun ia berjalan lancar,” katanya.

Beliau kini sibuk mengadakan persediaan untuk acara penutup acara sukan berkenaan, Sabtu ini.

“Rasanya rutin bergegas dari stadium ke lokasi konsert AF Megastar akan berulang lagi Sabtu ini. Pada setiap Sabtu, raptai penuh konsert program terbabit akan diadakan,” katanya yang turut dilantik sebagai Duta Alumni Universiti Malaya, baru-baru ini.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.