644 Penerbangan Terjejas Akibat Taufan Talim Di Jepun

TOKYO – Taufan kuat membawa angin kencang dan hujan lebat ke selatan Jepun semalam mengakibatkan beratus-ratus penerbangan domestik dan perkhidmatan kereta api tergendala.

Taufan Talim tiba di daratan di Kyushu, pulau paling selatan antara empat buah pulau utama di Jepun dengan tiupan angin selaju 162 kilometer sejam, kata Jabatan Meteorologi Jepun.

Stesen penyiaran awam NHK melaporkan, sekurang-kurangnya 644 penerba­ngan domestik dibatalkan kerana angin kencang, manakala semua perkhidmatan kereta api di pulau itu dihentikan untuk seketika.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan ama­ran hujan ribut, kenaikan paras air laut, tanah runtuh dan banjir di sebahagian besar gugusan kepulauan di selatan Jepun.

Jabatan Meteorologi meramalkan Taufan Talim akan bergerak menuju ke utara dan dijangka membawa hujan lebat ke kawasan yang luas termasuk kota raya Tokyo.

Ribut itu sebelum ini membadai gugusan pulau Okinawa dengan membawa jumlah hujan paling lebat dalam tempoh 50 tahun di Miyako sebelum membadai Pulau Kyushu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.