Siri Animasi Origanimals Pemenang Utama Anugerah Di Jepun

CHIBA (Jepun) – Syarikat animasi dan pembuatan kandungan kreatif Malaysia, Giggle Garage Sdn Bhd meraih pengiktirafan Jepun dan negara ASEAN apabila muncul sebagai pemenang utama Anugerah Watak ASEAN 2016 (Asean Character Award 2016) menerusi siri animasi Origanimals, di sini, hari ini.

 

Malaysia menewaskan lapan negara ASEAN yang mengambil bahagian dalam pertandingan berprestij kendalian Pusat ASEAN-Jepun (AJC).

 

Tempat kedua dimenangi Thailand menerusi syarikat Zylostudio Co Ltd melalui produk animasi Tidlom The Sky Hanger manakala Myanmar meraih anugerah khas juri menerusi syarikat, My Play Co Ltd dengan produk Rickshaw NaPain.

 

Kemboja dan Loas tidak menyertai pertandingan kali ini. Tahun lalu, Malaysia turut merangkul anugerah sama menerusi syarikat penerbitan siri animasi Upin & Ipin, Les’ Copaque.

 

Anugerah disampaikan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris kepada Pengarah Eksekutif Giggle Garage, Zeno Gabing pada Seminar Rangkaian ASEAN-Jepun di Tokyo Makahuri Bay, dekat sini.

 

Turut hadir, Setiausaha Agung AJC, Masataka Fujita; Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Tokyo, Shah Nizam Ahmad.

 

Sementara itu, Ahmad Izlan berkata pengiktirafan dari negara yang mendominasi industri animasi itu sesuatu yang membanggakan sekali gus meletakkan pencapaian syarikat tempatan setanding dengan negara maju.

 

“Ia membuktikan Malaysia mempunyai tenaga kerja mahir, kreatif dan berdaya saing dalam bidang animasi dan mampu mengorak langkah lebih jauh pada masa depan,” katanya.

 

Pengurus Projek (Perdagangan) Bahagian Pelaburan dan Perdagangan AJC, Kazuko Haruyama berkata 36 syarikat menyertai pertandingan itu dan pemilihan anugerah dilakukan enam juri profesional.

 

Karya Malaysia katanya, melangkaui kriteria ditetapkan, dengan idea animasi origami yang tidak pernah dilaksana mana-mana penerbitan animasi selain konsepnya yang universal dan diterima semua negara khususnya pendidikan kanak-kanak prasekolah.

 

“Pertandingan tahunan bermula sejak dua 2014 memfokus kepada daya kreativiti, kualiti dan keunikan siri animasi selain watak boleh dijadikan produk termasuk permainan.

 

“Giggle Garage bukan sahaja memperoleh trofi, malah peluang membuka ruang pameran produk di Tokyo Game Show bersama syarikat terkemuka dunia, menyertai seminar berkenaan serta publisiti dari media cetak dan penyiaran Jepun dan ASEAN,” katanya.

 

Zeno berkata kemenangan itu amat bermakna kerana siri animasi itu baru disiarkan di saluran kanak-kanak, ZooMoo, April lalu namun berjaya mencuri tumpuan Jepun, antara negara pengeluar animasi dunia.

 

Beliau berkata anugerah itu membuka ruang kepada mereka meneroka peluang pasaran baharu selepas siri itu mendapat sambutan di 41 negara dengan jumlah langganan seramai 140 juta.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.