Nazim Tak Halang Bella Berlakon

JOHOR BAHRU – Sehari selepas menyambut hari jadi yang ke-32, Nazim Othman dan isterinya, Bella Dally, 25, diraikan pada majlis resepsi sebelah pengantin lelaki di Hotel Berjaya Waterfront, di sini, malam tadi.

 

Majlis bertemakan kontemporari tradisional itu menyaksikan pasangan mempelai mengenakan busana ciptaan pereka terkenal, Rizman Ruzaini dan sentuhan solekan Sheila Mohamad.

 

Adik bongsu kepada ibu Nazim pula menaja pelamin daripada butik yang diusahakannya, Prettyphannatiq Weddings, di sini.

 

“Alhamdulillah tak ada apa yang saya mahukan lagi. Saya cuma berharap kebahagiaan yang baru dikecapi ini akan terus berpanjangan sampai bila-bila…Insya-Allah.

 

“Saya masih terharu dan gembira kerana isteri boleh menerima diri yang ‘gila-gila’ dan ‘sasau’ ini seadanya. Pada masa sama saya juga gementar melalui fasa baharu ini.

 

 

“Namun, saya tetap optimis untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Perkahwinan ini perkara yang Allah tentukan,” kata Nazim.

 

Nazim berkata, selesai majlis perkahwinan mereka, dia akan kembali ke set penggambaran drama Lara Aisyah yang sedang disiarkan Astro.

 

Nazim memberitahu, drama itu dijangka tamat pada akhir tahun dan hanya selepas itu, dia bersama Bella akan memilih destinasi berbulan madu.

 

“Ketika ini, kami tak putuskan lagi lokasi bulan madu. Mungkin Istanbul atau Greece. Saya juga tak akan halang isteri terus berlakon,” katanya yang mahu Bella menjaga status diri sebagai isteri.

 

Antara artis yang hadir pada majlis resepsi itu adalah Fasha Sandha dan Dayang Nurfaizah yang turut menghiburkan tetamu. Nazim dan Bella bernikah pada 10 September lalu di Sabah.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.