MCA Desak MP DAP Minta Maaf Kepada Keluarga Haron Din

KUALA LUMPUR – MCA kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen (MP) DAP Jelutong, Jeff Ooi, yang memuat naik kenyataan tidak sensitif sebagai ucapan takziah atas pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

 

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Liaw, menggesa Jeff Ooi meminta maaf atas keterlanjurannya yang tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama itu.

 

Beliau berkata, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

 

“Kami sedih perkara ini berlaku. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Bola Keranjang 3-on-3 di Wisma MCA di sini, pagi ini.

 

Kelmarin, Jeff Ooi memuat naik kenyataan “Adios Haron Din. Let there be peace” menerusi akaun Twitter peribadinya yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

 

Sementara itu di LANGKAWI, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Kedah dikenali sebagai Jemaah 30 membuat laporan polis terhadap Ooi susulan kenyataan sama.

 

Mereka juga menuntut pemimpin DAP itu membuat permohonan maaf terbuka kepada keluarga Allahyarham dalam tempoh terdekat.

 

Jurucakap kumpulan berkenaan, Ridzwan Abdul Rahman, berkata pihaknya tampil membuat 14 laporan bagi menunjukkan kesungguhan dan kemarahan mereka atas kebiadapan Ooi.

 

“Perbuatan Jeff Ooi adalah penghinaan kepada Allahyarham yang menyebabkan hati seluruh orang Islam terguris dan boleh menggugat keamanan serta toleransi kaum di negara ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, petang semalam.

 

Haron, 76, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi kelmarin waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, AS akibat komplikasi jantung. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.