‘Baba Pesan, Semadikan Jenazah Di Mana Malaikat Menjemputnya’ – Huda Haron

KUALA LUMPUR – “Banyak kali dalam kuliah dan pesanan baba, (jenazah) perlu disimpan di mana tempat malaikat datang menjemputnya,” kata waris Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Huda Haron selepas tekad memutuskan untukmenyemadikan bapanya di California, Amerika Syarikat.fb-huda-haron-anak-haron-din

 

Jelas Huda, walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan membawa pulang jenazah bapanya, namun jangka masa selama tujuh hari bagi pengurusan jenazah adalah suatu yang tidak dapat diterima keluarganya.

 

“Hatta jika tanya hati kecil saya yang memang mementingkan diri sendiri, tentunya saya mahu baba dekat bersama-sama kita. Biar ingatan tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita.

 

“Biar kita mampu ziarah hari-hari. Biar semua yang lain dapat ziarah berkali-kali. Biar ada depan mata.Itu kehendak kita dan saya rasa juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba.Tapi adakah keputusan itu tepat untuk baba?” soal Huda dalam satu status di laman Facebooknya.

 

Huda turut menegaskan, perbuatan menyegerakan pengendalian dan penyelenggaraan jenazah adalah dituntut syarak.

 

“Kita rasa baba milik kita, (namun) sebenarnya baba milik Allah.

 

“Pantaskah kita melanggar perintah Allah atas alasan darurat dan menyeksa baba semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu kita?” tambah Huda.

 

Huda berkata, beliau meminta maaf kepada ahli keluarga, anak-anak murid bapanya, pemimpin tanah air dan seluruh rakyat Malaysia atas keputusan yang berat dilakukan keluarganya untuk menyemadikan Allahyarham Haron Din di Amerika Syarikat.

 

“Kami maklum yang baba disayangi ramai. Kami sedar, kami berkongsi baba dengan seluruh masyarakat yang turut sayangkan baba.

 

“Sesungguhnya, kami tidak akan izinkan sesiapa pun menyakiti jasad baba. Tidak masa hayatnya dan tidak juga masa baba telah dijemput menemuiNya,” jelas Huda.

 

Allahyarham Dr Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Road, Livermore, California, Amerika Syarikat  pada jam 5.57 petang Jumaat waktu tempatan selepas selesai solat jenazah yang diimamkan anaknya, Hamdi Haron di Masjid An Noor Santa Clara, San Francisco.

 

Allahyarham meninggal dunia pada jam 10.10 pagi Jumaat waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco akibat komplikasi jantung.

 

Sementara itu di Shah Alam, ribuan jemaah menghadiri solat jenazah ghaib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diimamkan oleh cucu Allahyarham sendiri, Hakeem Hamdi, 17. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.