Himpunan Baju Merah Tak Terkecuali Dari Siasatan – PM

KUALA LUMPUR – Sekalipun Perhimpunan Baju Merah mendapat kebenaran, kerajaan tidak berkompromi dalam hal keselamatan dan tindakan yang mengancam sensitiviti kaum lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Dalam kenyataannya yang dimuat naik di laman web rasmi najibrazak.com serta di akaun Facebook beliau, Najib berkata kerana itu, apabila ada peserta yang menceroboh kawasan larangan, pihak berkuasa menyuraikan mereka walaupun terpaksa menggunakan meriam air.

 

“Polis juga sedang menyiasat mereka yang terlibat mencetuskan unsur perkauman dan sesiapa yang bersalah tetap akan didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya.

 

Kerajaan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana baginya ia penting untuk memberikan ruang kepada rakyat untuk bersuara.

 

“Jika tidak diberikan ruang ini, mereka akan mencari jalan lain untuk menyuarakan pendapat mereka,” katanya lagi.

 

Najib dalam mempertahankan keputusan pihak berkuasa yang memberi kebenaran `Baju Merah’ berkumpul, berkata dia dimaklumkan polis bahawa kebenaran diberikan kerana perhimpunan pada 16 September lalu bukan berniat menjatuhkan kerajaan.

 

Selain itu, katanya, tiada persiapan perarakan berlangsung di lokasi yang disasarkan untuk berdemonstrasi, selain penganjur mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

Sebagai perbandingan, katanya, perhimpunan Bersih pula diharamkan kerana objektif mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan, selain lokasi demonstrasi yang dipilih berhampiran tempat persiapan perarakan Hari Kemerdekaan.

 

“Perhimpunan berkenaan, walau bagaimanapun, tetap diteruskan tanpa sekatan pihak berkuasa,” kata Najib. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.