UPSR: Dua Lagi Guru Direman 4 Hari

Kuala Lumpur – Dua lagi guru direman hari ini selama empat hari bagi membantu siasatan polis kes kebocoran soalan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah reman itu untuk kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Seorang daripada mereka merupakan wanita berumur 26 tahun yang ditahan di Labis, Johor dan seorang lelaki berumur 31 tahun yang ditahan di Nilai, Negeri Sembilan.

Setakat ini 12 orang disiasat berhubung kes kebocoran itu, 10 daripada mereka merupakan guru, seorang ejen insurans dan seorang jurutera.

Berikutan kebocoran itu, kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas diduduki Khamis lepas, sementara mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 ditangguhkan sebelum murid mengambilnya pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan menetapkan 30 September sebagai tarikh baru menduduki semula kedua-dua kertas itu. – Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.