Perisian Apple iOS8 Terbaharu Dilancarkan Esok

San Francisco – Perisian generasi baharu Apple bagi mempertingkatkan sistem operasi peranti mudah alihnya akan dilancarkan esok, dua hari lebih awal daripada ketibaan model terbaharu iPhone.

Sistem operasi iOS 8 boleh dimuat turun secara percuma bagi kebanyakan model iPhone dan iPad serta dimuatkan terus pada iPhone 6 dan iPhone 6 Plus yang akan berada di 22 negara termasuk United Kingdom, Australia, Jepun, Hong Kong, Singapura Perancis dan Jerman mulai Jumaat ini.

Apple melancarkan iOS 8 pada persidangan tahunan pembangun aplikasi di San Francisco, Jun lalu.

Perisian operasi baharu itu dibangunkan untuk mewujudkan satu pengalaman penggunaan tanpa batasan membabitkan pelbagai peranti mudah alih Apple dan komputer Macintosh.

Seretak dengan pengenalan sistem operasi baharu, syarikat yang berpangkalan di California itu juga memperkenalkan perisian HealthKit bagi menguruskan penjagaan kesihatan peribadi dan HomeKit untuk peralatan rumah. Apple menyepadukan perisian berkenaan ke dalam sistem maklumat terkini itu.

HealthKit akan menyediakan pengumpulan data secara selamat menerusi peranti mudah alih seperti aspek kecergasan yang diperolehi daripada aktiviti dan waktu tidur penggunanya.

Apple juga melengkapkan iOS 8 dengan perisian HomeKit yang membolehkan peranti iPhone dan iPad digunakan sebagai sistem kawalan berpusat bagi gajet berkaitan internet seperti kunci pintu, lampu, pemanas dan sistem keselamatan.

Sistem operasi baharu Apple itu juga didatangkan dengan protokol rangkaian lazim yang membolehkan bukan saja iPhone boleh digunakan untuk membuka kunci pintar tetapi pembantu maya, Siri juga boleh memalapkan lampu dan melaraskan suhu pemanas apabila diarahkan dengan kata tertentu seperti “Get ready for bed.”

Keupayaan yang digarap ke dalam sistem operasi itu termasuk perisian dikenali “Continuity” yang membolehkan pengguna memulakan tugasan pada suatu peranti Apple dan dipindahkan secara automatik kepada peranti lain yang berdekatan.

Mesej dan panggilan juga boleh dipindahkan secara automatik antara dua peranti Apple.

Minggu lalu, Apple memperkenalkan produk terbaharu jam pintar sebagai tambahan kepada rangkaian produknya yang boleh dihubungkan dengan peranti sedia ada.

Bagaimanapun, Apple Watch tidak akan dikeluarkan hingga awal tahun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.