Maut Angkara ‘Banana Boat’ Di Pantai Teluk Kemang

Seremban – Mangsa kemalangan ‘banana boat’ (bot pisang) di Pantai Telok Kemang, Port Dickson, meninggal dunia pagi kelmarin di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Muhamad Hidayat Ramlan, 23, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 05.40 pagi, selepas seminggu bertarung nyawa.

Muhamad Hidayat, cedera parah akibat dilanggar sebuah bot penarik bot pisang, pada 07 September lalu.

Dalam kejadian lebih kurang 10.00 pagi itu, Muhamad Hidayat patah tulang rusuk kiri dan menerima 10 jahitan pada lengan kiri.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Ramlan Pardi, 50, berkata, beliau bukan sahaja mahu hukuman setimpal ke atas individu yang menyebabkan kematian anaknya, malah akan mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Kes ini tidak boleh dibiarkan dan saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang berkenaan.

“Hukuman harus dikenakan kepada pesalah itu, bukan kerana pembelaan terhadap kematian anak saya semata-mata, tetapi juga atas kepentingan awam.

“Ini bukan kali pertama kes kecuaian seperti ini berlaku. Sepatutnya mereka pandang serius keselamatan pengunjung.

“Saya akan bawa perkara ini ke mahkamah, bukan sahaja terhadap pengusaha bot terbabit, malah pihak lain yang berkenaan juga

“Sepatutnya ciri-ciri keselamatan ditekankan, contohnya sediakan laluan khas dan tidak ganggu pengunjung lain di laut.

“Saya tengok pemandunya menurunkan mereka dengan cara menjatuhkan mereka ke laut. Ini tidak patut,” katanya.

Ramlan yang juga merupakan seorang anggota polis berkata, dia difahamkan perkhidmatan bot pisang itu tidak dilindungi insuran.

Isnin lepas, pemandu bot tersebut, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, atas tuduhan memandu bot secara gopoh hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh, Mohd Amirol Yasli, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.