Istana Selangor Beri Amaran Pada Anwar, Jangan Beri Kenyataan Mengelirukan Rakyat

Shah Alam – Istana Selangor menafikan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sudah menjadi amalan sejak 1957 satu nama calon menteri besar sahaja dihantar kepada Sultan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan akhbarnya berkata, beliau dititahkan oleh tuanku bagi memberikan penjelasan untuk menafikan kenyataan Anwar Ibrahim dalam akhbar-akhbar tempatan yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon Menteri Besar merupakan amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Dalam kenyataannya, Mohamad Munir menjelaskan bahawa pemimpin parti Pakatan Rakyat diminta mengemukakan empat nama calon MB selepas pilihan raya umum 2013.

Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat tetap mengesyorkan hanya satu nama – Tan Sri Khalid Ibrahim – untuk dilantik semula sebagai menteri besar.

“Di samping itu, baginda juga ada menerima penamaan calon lain bagi jawatan menteri besar Selangor.

“Kenyataan Anwar Ibrahim ini adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan empat muka kepada media itu.

Menurut Mohamad Munir lagi ketika pentadbiran kerajaan BN, pemilihan calon Menteri Besar Selangor dipersembahkan kepada Sultan Selangor oleh Perdana Menteri melalui Majlis Menghadap Sultan, dan beberapa nama yang difikirkan layak disembahkan untuk mendapat perkenan baginda.

“Dari senarai nama calon itu, Sultan Selangor akan memilih hanya satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar,” katanya.

Pada 9 September, dalam satu kenyataan memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah atas tindakan PKR hanya menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor, Anwar berkata partinya dan Pakatan Rakyat menghormati prinsip keluhuran perlembagaan serta menjunjung sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Pihak kami akan terus merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan seandainya keputusan kami mematuhi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan (convention) sejak 1957 menyebabkan terguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan,” katanya.

Kenyataan Istana Selangor

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.