Analisis: BN Kian Agresif, PAS Mula Menjentik Di Pengkalan Kubor

TAMAT hari kelima berkempen hari ini, suasana sebenar perjalanan sebuah Pilihan Raya Kecil (PRK) yang biasanya meriah, riuh rendah dan hangat berikutan tuding menuding antara parti bertanding masih belum dirasai ‘bahangnya’ di Pengkalan Kubor.

Biarpun setiap jentera atau calon parti yang bertanding sudah mengatur gerak kerja seawal hari penamaan calon Sabtu lalu, kehangatannya tetap belum dirasai, hanya pergerakan jentera kedua-dua parti yang dilihat keluar masuk memenuhi kawasan utama.

Selain ceramah diadakan hampir setiap malam, ada juga acara hiburan seperti persembahan Dikir Barat menghiasi suasana malam di sini.

Seperti biasa, seawal jam 8 pagi, calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail dan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim mengatur langkah dengan gerak kempennya mengunjungi rumah pengundi, biasanya mereka akan bersarapan pagi di gerai bersama penduduk setempat.

Selain BN dan PAS, PRK DUN Pengkalan Kubor turut menyaksikan kehadiran seorang calon Bebas yang diwakili Izat Bukhary Ismail Bukhary, namun kempen Izat banyak bertumpu di gerai makan, kawasan tumpuan ramai seperti premis perniagaan.

Jika di PRK lain, serangan dan cacian kepada calon serta parti cukup berleluasa, sehingga timbul tohmahan dan fitnah, namun di DUN Pengkalan Kubor, situasi sedemikian masih terkawal.

Ceramah PAS yang dihadiri presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub, banyak berkisar soal agama, perpaduan dan perjuangan parti, tanpa menyentuh secara khusus keburukan parti lawannya.

Jentik pihak lawan itu pasti ada, terutama dalam ceramah dihadiri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu serta Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nasharuddin Daud. Senang kata lihat siapa penceramahnya.

PAS juga sehingga ke hari ini, masih menggunakan pentas ceramahnya sebagai medan utama berkempen, selain kunjungan empat mata dengan pengundi.

Berbeza dengan BN yang dipenuhi pelbagai program rakyat seperti kempen kesihatan dan jalan raya, sukan futsal serta aktiviti ‘BBQ’ dengan gandingan pemimpin pusat yang turun padang diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Dari segi agresifnya jentera berkempen, BN masih dilihat mendahului berbanding PAS. Mungkin faktor Muktamar Tahunan PAS yang kini berlangsung di Johor membataskan pergerakan jentera kempen mereka terutama dari segi kehadiran pemimpin utamanya, selain masalah ‘keakraban’ antara rakan sekutu, PKR dan DAP.

Bagi BN, kemenangan di DUN Pengkalan Kubor ini penting. Selain memerlukan sokongan ‘padu’ daripada pengundi atas pagar dan luar, sokongan majoriti pengundi tempatan perlu dipastikan menyebelahi mereka andai mahu kemenangan lebih baik diperoleh pada hari penentuan 25 September ini.

Berdasarkan kepada rekod Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu, daripada 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Pengkalan Kubor, BN berjaya menguasai tujuh PDM manakala baki lima lagi dimenangi PKR.

PDM dikuasai BN termasuk Pengkalan Kubor ; Simpangan; Tujoh; Bunohan; Jubakar Darat; Kampung Bendang Pak Yong serta Kampung Telok Jering. PKR pula menguasai PDM Kampung Ketil; Kampung Tebing; Kampung Geting; Telaga Bata dan Kedai Geting.

Di bawah 12 PDM itu, keseluruhannya terdapat 45 saluran tempat mengundi. BN menguasai 21 saluran, sama seperti PKR. BN dan PKR juga mencatatkan seri di saluran 4 di bawah PDM Tujoh.

Seperti dijangka, BN menang besar bagi undi pos dengan majoriti 47 undi selepas memperoleh 97 undi berbanding PKR, 50. Sementara undi awal, BN mudah mengatasi lawannya dengan memperoleh 94 undi berbanding hanya tujuh undi diperoleh PKR.

Mat Razi yang tinggal di Kampung Simpangan di bawah PDM Simpangan dijangka tidak berdepan masalah untuk memperoleh majoriti undi lebih besar daripada rakan sekampungnya jika bersandarkan rekod cemerlang pengundi di kawasan itu terhadap BN.

Justeru itu, jika semua rekod itu diambil kira, pola undi dijangka tidak banyak berubah pada PRK kali ini. Jika situasi ‘kelesuan’ kempen ini berterusan menjelang hari mengundi, tidak mustahil, cerah BN mengekalkan penguasaan di enam PDM yang sebelum ini mencatatkan majoriti undi agak besar.

Hanya PDM Tujoh memerlukan kerja kuat jentera BN untuk memastikan majoriti itu masih kekal berpihak kepada mereka, selain memastikan tiga PDM yang sebelum ini dikuasai PKR, iaitu di Kampung Ketil; Kampung Tebing dan Telaga Bata dirampas semula berikutan majoriti cukup tipis.

Untuk rekod juga, kali terakhir PAS menang di kerusi sejak DUN Pengkalan Kubor diperkenalkan sebagai salah satu kawasan pilihan raya negeri pada 1995 itu adalah ketika PRU 1999.

Calon PAS ketika itu adalah Wan Husain Wan Ahmad, mengalahkan calon BN, Mat Nawawi Mat Jusoh dengan majoriti 2,432 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.