AJK PAS Pusat Bidas Sikap Dolak- Dalik Hadi Awang

Kuala Lumpur  – Ketika PAS memulakan muktamar tahunannya hari ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberi amaran kegagalan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat (PR), dengan mengiktiraf Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor, mungkin akan menikam dirinya sendiri.

Mujahid berkata, tidak seperti mantan presiden terdahulu, Yusof Rawa dan Datuk Fadzil Mohd Noor, Hadi dilihat seolah-olah tidak berupaya mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam menangani kemelut di Selangor.

“Apakah sebabnya? Adakah kerana tekanan untuk keluar PR terlalu kuat? Ataukah presiden PAS terlalu lemah,” soalnya dalam tulisannya bertajuk Masa Depan PAS di Tangan Ahli PAS.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, jawapan itu penting bagi menentukan kayu piawaian masa depan PAS dan kriteria kepimpinan dalam menghadapi lanskap baru politik.

Katanya, ujian kepimpinan akan berakhir apabila mereka mendapat jawapan sama ada mereka masih relevan atau tidak untuk mengemudi lanskap baru itu.

“Sehingga ahli membuat penilaian yang matang dan luas perkiraannya, mereka akan sentiasa diperhatikan,” katanya.

Katanya, laluan politik yang diberikan masyarakat bukan Islam, khususnya pengundi Tiong Hua, seharusnya mendorong pimpinan PAS mengukuhkan PR, bukannya mengecewakan masyarakat dengan berdolak-dalik dalam komitmennya terhadap slogan ‘PAS untuk semua’.

Katanya, ahli PAS harus sedar dan akur kejayaannya tidak akan ke mana hari ini jika orang bukan Melayu tidak mengundi calon PAS, khususnya di Selangor.

“PAS harus berhati-hati agar tidak mengecewakan kepercayaan umum terhadapnya.

“Pengundi hari ini mengundi atas dasar keyakinannya kepada PAS dan manifesto yang kita janjikan. Lebih-lebih lagi pengundi di Pantai Barat yang tertarik dengan tawaran PR dan mengundi atas semangat PR.

“Baru setahun berlalu, dan keghairahan PR bertelagah di Selangor pastinya mengurangkan kepercayaan umum, dan PAS terpalit sebagai satu daripada pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata, PAS tidak harus berpatah balik ke belakang seolah-olah ia terpengaruh dengan dakyah Umno yang memainkan sentimen Melayu-Islam, yang pada hakikatnya ialah perkauman sempit, yang ditentang PAS sejak berdekad lamanya.

“Sememangnya permainan sentimen Melayu-Islam Umno boleh melemahkan langkah tegas yang diambil PAS demi kebaikan politik baru yang makin kuat sekarang.

“Oleh itu, PAS dan ahlinya harus mengelakkan diri sejauh-jauhnya daripada terheret dalam krisis Selangor, yang merupakan perangkap politik Umno,” katanya.

Katanya, PAS bersama dengan rakannya dalam PR cuma perlu bersabar dan istiqamah dengan meminimakan langkah yang boleh menggagalkan matlamat mereka.

Parti dalam PR juga perlu menahan diri daripada terlibat dalam perkara remeh-temeh dan menyerang sesama sendiri.

Katanya, PAS tidak boleh berfikir hanya untuk dirinya saja tetapi perlu memikirkan tentang kepentingan yang strategik dan harapan rakyat terhadap kepimpinan dalam mencapai agenda perubahan.

“Menghadiri muktamar kali ini bukan sekadar untuk mengikuti ucapan retorik dan bersemangat dalam mempertahankan kepimpinan ulama atau presiden parti.

“Ia juga tentang bagaimana perwakilan boleh mempertahankan prinsip parti, prinsip organisasi, prinsip strategi dan lebih penting, bagaimana PAS harus berperanan dalam kerangka membina masa depan negara,” katanya.

4 thoughts on “AJK PAS Pusat Bidas Sikap Dolak- Dalik Hadi Awang

  • September 18, 2014 at 1:36 pm
    Permalink

    Apa pasal nak libatkan UMNO… Takde kenamengena… Ni masalah Dalaman PAS… Masalah KITA… masalahnya ISLAM letak kat mana… No for wan Azizah… kalau fundamental ISLAM/IMAN kuat… kita tak perlu takut pada undi bukan ISLAM… we must have faith in ALLAH AND ISLAM… ALLAHUAKHBAR…

    Reply
    • September 19, 2014 at 5:48 pm
      Permalink

      Setuju dengan Zuwairi. Lihat ke dalam untuk mencari punca masalah dalaman dan jangan libatkan pihak lain. Dah jemu dengan menggunakan alasan UMNO setiap kali ada masalah. Bertawakal kepada ALLAH untuk kekuatan parti dan takut kepada azab ALLAH. Kenapa mesti takut kepada undi bukan Islam?

      Reply
  • September 18, 2014 at 3:51 pm
    Permalink

    Dan seperti biasa… kaitkan dengan UMNO, semua UMNO, salah korang UMNO jadi mangsa… ape hal yang tak sebulu antara Presiden dengan AJK Pusat salah UMNO plak… korang satu geng, tak reti nak berbincang cara baik.. kata orang beriman, berpandukan islam… benda setel takleh selesai sendri salahkan orang lain… ape punya manusia da….

    Reply
  • September 18, 2014 at 6:04 pm
    Permalink

    Takpelah..mujahid blh masuk pasma

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.