Dr Mahathir Dakwa Dr Zakir Naik Cetus Ketegangan Kaum, Kerajaan Akan Bertindak

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik jelas telah mencetuskan ketegangan kaum di negara ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, perbuatan tersebut tidak baik untuk negara dan kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara.

“Beliau telah mengganggu hubungan kaum dan ini tidak baik. Disebabkan itu polis siasat sama ada beliau mencetuskan ketegangan atau tidak dan amat jelas beliau telah berbuat demikian.

“Namun apa juga tindakan yang kita ambil akan mengikut undang-undang kerana kerajaan ini menghormati rule of law,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pembukaan Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 (ISI WSC) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut Dr Mahathir, kata-kata Zakir yang meminta kaum Cina pulang ke China tidak sesekali boleh diterima.

“Kita amat berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara sensitif berkenaan kaum lain di negara ini. Saya sendiri tak pernah cakap begitu.

“Saya tak pernah minta Cina untuk pulang tetapi beliau datang Malaysia dan cakap begitu. Ini politik, amat jelas beliau mahu terlibat dalam politik kaum di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mengingatkan Zakir agar tidak sesekali menyentuh isu politik dan kaum di negara ini sebaliknya hanya perlu menumpukan kepada isu agama.

“Saya tidak tahu siapa yang beri beliau status penduduk tetap (PR) tapi status PR bermakna beliau tak boleh terlibat dalam politik. Beliau boleh beri ceramah agama tapi dia tak buat demikian.

“Jika mahu cakap mengenai agama, silakan dan cakap perkara yang betul mengenai agama,” katanya.

Zakir kini disiasat polis di bawah Seksyen 504 kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan.

Kertas siasatan telah dibuka berdasarkan satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Gombak dan sehingga kini sebanyak 115 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan isu sama.

Zakir mengeluarkan kenyataan terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respon balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.