UMNO Komited Bantu Kempen PAS Di PRK Seri Setia

PETALING JAYA – UMNO akan menurunkan jenteranya bagi membantu PAS sepanjang tempoh 21 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata UMNO juga akan menyenaraikan penceramah berkaliber untuk membantu parti berkenaan.

“Sejak pengumuman calon PAS tempoh hari, kepemimpinan UMNO bahagian hadir memberi sokongan.

“Kita akan berbincang dengan PAS kerana mereka akan memimpin untuk kempen. Kita akan bincang dengan PAS mengenai apa yang diperlukan.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan menyediakan penceramah yang diperlukan. Malah, tiga pergerakan UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan menggerakkan jentera mereka pada PRK kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari.

Selain Ismail Sabri, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, turut berada bersama pemimpin PAS di pusat penamaan calon.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, UMNO akan terus berusaha membantu memenangkan calon PAS pada PRK Seri Setia.

“Hari ini saya menganggap kerjasama UMNO-PAS untuk PRK ini secara rasmi walaupun tiada perjanjian di atas kertas dan kehadiran UMNO jelas menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti semakin baik.

“Berbanding PRK Sungai Kandis, hubungan dalam PRK kali ini dilihat lebih baik dan kita akan memastikan PAS menang dalam pertandingan ini,” katanya. – BH

One thought on “UMNO Komited Bantu Kempen PAS Di PRK Seri Setia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.