MCA Tentang PH Di PRK Balakong

PILIHAN Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Pakatan Harapan (PH) dan MCA.

MCA mempertaruhkan ahli perniagaan, Tan Chee Teong, 40, manakala PH diwakili Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki, 32.

Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Rosli Othman membuat pengumuman itu pada 10.25 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Utama Demense, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, Bangi, hari ini.

“Saya bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima dua kertas pencalonan untuk bertanding bagi PRK DUN Balakong.

“Mereka yang mengemukakan kertas penamaan ialah Tan Chee Teong pada 9.06 pagi dari MCA dan Wong Siew Ki, 9.13 pagi dari PH.

“Selepas semua dokumen pencalonan disemak saya berpuas hati tiada calon yang ditolak kertas penamaan,” katanya.

Kerusi DUN Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, 20 Julai lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Tien Chee yang bertanding menggunakan logo PKR, menang majoriti 35,538 undi selepas menewaskan calon PAS Mohamad Ibrahim Ghazali dan Lim Chin Wah (BN).

PRK ini mencatat sejarah kerana buat kali pertama MCA akan menggunakan logo parti itu dan tidak menggunakan logo dacing Barisan Nasional (BN), manakala DAP pula menggunakan logo PH. – HMetro

One thought on “MCA Tentang PH Di PRK Balakong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.