DAP Tetap Mahu Hak Milik Tanah 999 Tahun Diluluskan

TELUK INTAN – DAP Perak tetap mahukan kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum lalu.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah berada bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).

“Saya merasakan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan di mana tanah-tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan Majlis Tanah Negara hanya memberikan nasihat, itu sahaja,” katanya selepas merasmikan majlis jualan amal membabitkan penyertaan 5 sekolah rendah dan menengah Cina dalam Teluk Intan di Sekolah Menengah (SM) Persendirian San Min hari ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Faizal berkata semakan dengan Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru memutuskan tempoh pajakan atau “leasehold” bagi kampung baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Menteri besar menjelaskan mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pajakan bagi kampung baru hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Dalam pada itu, Nga berkata hak milik 999 tahun bukan isu kerana pihaknya akan memberikan hak milik itu kepada semua bangsa melibatkan kampung tersusun, penempatan kaum India dan kampung baru.

“Saya ingin tekankan apabila kita berikan hak milik kekal, kita bagi kepada semua bangsa dan ini perlu ditegaskan…Jangan salah faham, ini bukan tanah baharu, ini adalah lot kediaman yang didiami oleh penduduk sebelum kemerdekaan sejak 1948 iaitu waktu darurat, sudah wujudnya kampung baru.

“Itu rumah mereka, takkan kita hendak rampas rumah rakyat? Cuma saya minta berikan hak milik, hak milik sememangnya ada, cuma dilanjutkan tempoh pajakan maka tak jadi isu,” katanya.

Nga berkata pihaknya tidak meletakkan tekanan terhadap Faizal namun perkara itu ada dalam manifesto dan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan semua janji-janji itu. – BERNAMA

One thought on “DAP Tetap Mahu Hak Milik Tanah 999 Tahun Diluluskan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.