Jangan Sampai Saya Jadi Kurang Ajar, Kata Pekin

KUALA LUMPUR — Pelakon Pekin Ibrahim kecewa kelayakan filem sulung arahannya dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 dikritik idolanya sendiri dalam industri.

 

Pekin berkata lapan pencalonan “Mat Moto — Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit” yang dipertikaikan membuatkannya hilang hormat pada individu yang pernah disanjungnya, lapor mStar Online.

 

“Buruk sangat ke filem saya sehingga pihak tersebut cuba mempertikaikan kewajaran bertanding di FFM 28? Mereka ini menonton atau tidak filem saya atau sekadar menilai pada tajuk?

 

“Sebenarnya mereka inilah yang mengajar saya jadi seorang ‘fighter’ dan saya takut perkara ini kelak akan membuatkan saya jadi lebih kurang ajar daripada mereka,” kata Pekin, 36.

 

“Mat Moto” tercalon dalam kategori pengarah baru terbaik, pelakon lelaki terbaik, lakon layar terbaik, cerita asal terbaik dan filem terbaik bahasa kebangsaan.

 

Ia turut dicalonkan dalam kategori pelakon baru wanita terbaik, penataan bunyi terbaik dan sinematografi terbaik.

 

Pada hari pertama tayangannya pada 14 Januari lalu, filem ini dilaporkan mengutip RM1 juta.

 

Pelakon filem “Bunohan” itu berkata “Mat Moto” tidak memberi pengaruh buruk kepada penonton, sebaliknya mempunyai mesej positif dan keagamaan.

 

Acara kemuncak FFM 28 berlangsung pada 3 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 9 malam. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.