Rita Rudaini Letak Syarat Untuk Bakal Suami

Kuala Lumpur – Aktres jelita, Rita Rudaini mengakui masih belum bersedia untuk menerima mana-mana lelaki bagi mengisi ruang kosong di hatinya walaupun sudah hampir setahun menjalani kehidupan solo tanpa insan bernama suami di sisi.

Menurut Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, dia mahu memberi tumpuan terhadap kedua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, terlebih dahulu, apatah lagi kedua anak terunanya itu kian membesar dan bakal memulakan persekolahan tidak lama lagi.

“Saya tidak terfikir untuk mencari pengganti sebab saya tak rasa sunyi lagi. Buat masa ini saya tak teringin sebab saya tidak mahu peningkan kepala dengan masalah rumahtangga. Lagipun, saya hidup dengan anak-anak, jadi saya lebih banyak memikirkan tentang hal pengurusan anak-anak,” ujar Rita sambil menafikan dia sedang mengenali mana-mana lelaki.

“Demi Allah, buat masa ini tidak ada langsung mana-mana lelaki yang bertakhta di hati saya. Kehidupan saya pergi kerja, balik kerja dan jaga anak-anak. Saya tidak ada masa untuk lepak dengan kawan-kawan, jadi tidak timbul isu saya berkenalan dengan mana-mana lelaki.

Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya memang tak berminat untuk mengenali insan bernama lelaki. Tak tahulah kalau selepas ini Allah nak buka pintu hati, itu saya serah segalanya kepada jodoh,” tutur pelakon kelahiran Perlis ini.

Ketika ditemui, pelakon drama ‘Sehangat Asmara’ ini turut diajukan mengenai ciri-ciri lelaki yang bakal dicarinya selepas ini serta adakah dia akan meletakkan apa-apa syarat untuk bakal suaminya itu. Menurut Rita, dia tidak kisah sama ada lelaki itu tua atau pun muda, namun berharap agar lelaki itu akan menerima kedua-dua anaknya itu seadanya.

“Muda atau tua saya tidak kisah. Apa yang penting, dia kena menerima anak-anak saya. Lelaki itu juga mestilah menyayangi anak-anak saya lebih dari dia sayangkan saya,” tutur pelakon drama ‘Iris’ ini mengakhiri perbualan.

Rita sebelum ini pernah bernikah dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan pada 28 Februari 2008 di Songkhla, Thailand. Namun pasangan ini telah disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 5 September tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.