Ragbi Terkilan Diberi Tiket Kategori B

Kuala Lumpur – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan skuad ragbi kebangsaan dalam kategori B pada Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, bulan depan.

Rayuan KRM itu dikemukakan oleh pengurus pasukan Fahmy Jalil pada mesyuarat antara pengurus pasukan Sukan Asia dan Jawatankuasa Pemilihan MOM di sini hari ini.

Bagaimanapun, MOM dijangka memberi keputusan terhadap rayuan dikemukakan oleh semua sukan yang digugurkan atau diletakkan dalam kategori B sebelum Khamis depan.

Fahmy memberitahu skuad ragbi akan tetap ke Sukan Asia dari 19 September hingga 4 Oktober ini walaupun sekiranya rayuan mereka ditolak.

Pada Rabu lepas, MOM membuat keputusan mengejut apabila meletakkan skuad hoki negara dan ragbi dalam kategori B ke Sukan Asia 2014, sekali gus menyebabkan kedua-dua pasukan itu terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri ke Incheon sebelum dibayar semula sekiranya melepasi sasaran yang ditetapkan.

Fahmy menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil kerana skuad ragbi layak secara merit dan turut berada dalam kategori A ketika menyertai Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, baru-baru ini.

“Keputusan ini memaksa kami merombak balik dari segi pengurusan kerana ia melibatkan aspek kewangan. Kita akan cari sendiri sumber kewangan untuk berjuang di Sukan Asia,” katanya.

Skuad negara layak secara automatik ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia selepas muncul antara enam pasukan terbaik pada kejohanan Siri Asia Tujuh Sebelah 2013 yang berlangsung sejak Jun hingga November lepas.

Bagaimanapun, di Sukan Komanwel, pasukan ragbi hanya berkongsi kedudukan ke-15 dengan Barbados, iaitu tidak mencapai sasaran tempat ke-12 seperti yang ditetapkan sebelum temasya itu.

Kontinjen negara ke Sukan Asia 2014 terdiri daripada 288 atlet dan 133 pegawai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.