Pengurusan Ekonomi Negara Pada Tahap Terbaik – Najib

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengurusan ekonomi negara kini berada pada tahap terbaik memandangkan pertumbuhan ekonomi berkembang luar daripada jangkaan pada suku kedua.

Najib berkata ekonomi negara mencatat kadar pertumbuhan 6.2 peratus pada suku pertama, dan pada suku kedua meningkat pada tahap 6.4 peratus.

“Ekonomi negara kita telah berkembang luar daripada jangkaan,” kata Najib ketika berucap pada Majlis Aidilfitri dan Pelancaran Program Pembangunan Usahawan Melayu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, di sini Isnin.

Najib berkata pertumbuhan ekonomi yang semakin baik ini didorong oleh peningkatan eksport yang meningkat kepada 14.2 peratus berbanding 10.8 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa dari segi pengurusan ekonomi, kita berada pada kedudukan yang betul,” katanya.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi ini penting dan mesti diurus dengan baik supaya kerajaan dapat mengagih-agihkan kekayaan negara.

“Ia mesti berasaskan kepada pertumbuhan. Kalau tidak ada pertumbuhan, tidak ada pengagihan kekayaan yang saksama,” kata Najib.

Dalam usaha untuk terus membangunkan ekonomi negara, kerajaan berpandukan prinsip tersebut dan berkata agenda ekonomi Bumiputra merupakan agenda nasional negara dan mekanismenya ditentukan melalui Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

Program yang telah dijalankan untuk membangunkan ekonomi Bumiputera termasuklah pembangunan vendor, skim usahawan permulaan Bumiputera (SUPERB), selain pengagihan kontrak tertentu seperti MRT.

“Ini bukanlah sebutan retorik, malah telah dilaksanakan dengan baik melalui Majlis Ekonomi Bumiputera bagi memastikan perlaksanaan yang berkesan,” katanya.

Najib turut menyarankan dewan ini dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia bersama-sama beliau dalam lawatan ke luar negara, termasuk misi perdagangan dan lawatan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan sentiasa menyokong program pembangunan usahawan yang dianjurkan oleh dewan ini, selain membincangkan tentang peruntukan dan kaedah pelaksanaan yang berkesan.

Program Pembangunan Usahawan anjuran dewan yang dilancarkan oleh perdana menteri merupakan program yang akan dilaksanakan untuk memperkasa usahawan Melayu di seluruh negara melalui kaedah dalam talian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.