PAS Pertahan Pendirian, Senarai Dua Calon Untuk MB Selangor

Kota Bahru – Pas masih kekal dengan keputusannya untuk menyenaraikan dua nama iaitu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun pakatan pembangkang hanya akan menyerahkan satu nama sahaja iaitu Wan Azizah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, jika baginda menolak Wan Azizah, maka nama Azmin akan disenaraikan untuk jawatan tersebut.

Abdul Hadi berkata, parti berhak mencalonkan sesiapa sebagai calon Menteri Besar tapi keputusan akhir adalah pada Sultan Selangor.

“Bagaimanapun, terpulang kepada baginda Tuanku untuk menentukan siapa Menteri Besar Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, PAS menerima apa sahaja keputusan Sultan termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tapi kita berharap perkara seperti itu tidak berlaku,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau menafikan bahawa Azmin menarik diri daripada disenaraikan untuk jawatan tersebut.

Katanya, Azmin hanya menghormati keputusan partinya untuk memberi laluan kepada Wan Azizah.

Manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menerima dan menyokong keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pas Pusat semalam dalam isu krisis Menteri Besar Selangor.

Beliau menyatakan sokongan tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali di sini pagi ini.

Jawatankuasa Pas Pusat semalam menamakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang pada sebelah petangnya menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.