Mekanik Ditemui Mati Tergantung

Kuching – Seorang mekanik ditemui mati dalam keadaan tergantung di ruang tamu rumah sewanya yang terletak di Kampung Sungai Laru di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai David Ungki, 49 tahun ditemui adik iparnya dalam keadaan leher terjerut dengan seutas wayar yang diikat pada palang kayu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di rumah sewa itu sendirian turut menjadikan kediaman tersebut sebagai bengkel membaiki kenderaan.

Sumber memberitahu sekeping surat mengandungi nota bunuh diri ditemui yang dipercayai ditulis lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan kandungan sebenar surat itu dan ia sekarang berada dalam simpanan pihak polis.

“Mangsa mungkin menghadapi tekanan hidup namun apa yang menyebabkan dia bertindak demikian belum diketahui,” katanya di sini pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzilan Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurut Fauzilan, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes tersebut dan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.