Mamat Sepah Mahu Nikahi Nurul

SETELAH dihujani dengan pelbagai kontroversi melibatkan bidang seni dan peribadinya, kini pelawak yang dicungkil bakatnya daripada sebuah program realiti televisyen Raja Lawak, Mamat Sepah kini ampuh membawa diri sebagai seorang anak seni.

Kehadiran kekasih baharu, Nurul Syafiqah Zakaria, 24, banyak memberi erti dalam kehidupan Mamat. Baginya, pengalaman lalu menjadi pengajaran penting kepadanya dan mengakui kekasihnya itu banyak menasihatinya dalam pelbagai hal.

Memilih untuk mendiamkan diri, Mamat mengakui kehidupannya kini lebih tenang dan dia kini mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada industri hiburan tanah air.

Jarang berada di layar kaca, Mamat mempunyai alasan sendiri dia mengambil tindakan sedemikian. Selain memastikan segala kekalutan reda, Mamat berkata, dia lebih tenang bekerja sebagai salah seorang juru hebah radio selain jadual senggang digunakan sepenuhnya untuk meluangkan masa bersama orang yang tersayang.

Kebetulan bertemu tuan empunya badan pada majlis rumah terbuka Ultra FM di Hotel Novotel, kami  bertanya dengan lebih lanjut berhubung karier dan kehidupannya kini.

Bagaimanakah perjalanan karier seni dan kehidupan Mamat sekarang?

Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih teratur dan saya memilih untuk menjadi juruhebah radio kerana masa yang sangat fleksibel. Saya mengambil keputusan untuk kurang berada di layar perak memandangkan komitmen di radio. Saya tidak mahu membuat sesuatu pekerjaan secara tidak bersungguh-sungguh. Bagaimanapun jika mempunyai masa senggang saya akan menerima tawaran lakonan.

Berbanding dahulu, anda kini dilihat lebih matang membawa diri sebagai seorang anak seni, boleh anda ulas sedikit mengenai perkara tersebut?

Sejak mula berkecimpung dalam industri seni sebagai seorang pelawak, populariti yang mendadak kadang-kadang menyebabkan kita lupa diri. Dikelilingi dengan dunia glamor, saya akui, saya hanyut dalam dunia sendiri sehingga ia membawa keburukan kepada diri saya. Pengalaman banyak mengajar saya bergelar anak seni.

Anda pernah dilabelkan sebagai seorang artis bermasalah suatu ketika dahulu, bagaimanakah tindakan anda untuk menepis tanggapan tersebut?

Tidak ada apa-apa yang saya lakukan, malah saya hanya berdiam diri dan tunggu sehingga segalanya reda.

Bagaimanakah hubungan anda kini bersama bekas ahli kumpulan Sepah, Jep dan juga Shuib?

Hubungan kami baik sahaja. Bagi saya perkara yang lepas usah dikenang lagi. Saya tidak mengambil keputusan untuk meninggalkan Sepah tetapi mereka yang telah meninggalkan Sepah dan menubuhkan kumpulan baharu iaitu Sepahtu. Kini masing-masing sudah mempunyai haluan dan arah tuju masing-masing. Apa yang saya mampu buat hanyalah berdoa untuk kejayaan rakan seperjuangan saya.

Anda kini didapati bersama seorang kekasih baharu, boleh anda jelaskan sejauh manakah hubungan anda dengan dia?

Ya, kami kini bergelar pasangan kekasih dan telah menjalinkan hubungan sejak tiga tahun dahulu. Dia merupakan orang yang bertanggungjawab membimbing saya ke arah kehidupan yang lebih teratur. Dia juga banyak memberi semangat kepada saya ketika kejatuhan saya ketika dahulu. Saya sangat senang bersamanya.

Mungkin anda ada perancangan untuk berkahwin dengan kekasih anda kelak?

Ya, saya bercadang untuk berkahwin selewat-lewatnya hujung tahun ini. Bagaimanapun saya perlu menunggu dia tamat pengajian di salah sebuah universiti swasta menjelang September nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.