Keluarga Mahu Jenazah Cepat Dibawa Pulang

Ampang – Keluarga Penyelia Penerbangan Kabin MAS, Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar, 54 tahun, yang terkorban dalam tragedi MH17, masih menaruh harapan jasadnya dibawa pulang untuk disemadikan di tanah air.

Isterinya, Normi Abdullah, 54 tahun, ketika ditemui The Rakyat Post di rumahnya, di Bukit Indah, kelihatan tenang setelah sebulan kejadian membabitkan kematian 44 warga Malaysia, pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, beliau sedih kerana jenazah suaminya tiada dalam kumpulan pertama jenazah yang akan tiba di tanah air, pada Jumaat depan.

“Apabila saya dimaklumkan oleh MAS, nama suami saya tiada dalam senarai kumpulan pertama jenazah yang akan tiba di tanah air, saya rasa sedih,” ujarnya.

Suri rumah itu berkata, dia sekeluarga mengharapkan jasad suaminya dapat dikenal pasti dan dibawa pulang dengan segera.

“Saya tidak kisah sama ada keadaan jasad itu sempurna atau tidak, kerana kami sekeluarga mahukan jasadnya dikebumikan di tanah air,” katanya dengan nada sedih.

Jelasnya, tiga anaknya sudah dapat menerima kenyataan dan tenang, cuma anak bongsunya, Afi Hazim, 14 tahun, seorang remaja Kelainan Upaya masih tidak mengetahui ayahnya sudah tiada.

“Saya sudah beritahunya, tetapi dia tidak memahami, melainkan dia melihat jenazah ayahnya.

“Dia masih sangka ayahnya pergi kerja, kerana kebiasaan jika ayahnya ada di rumah, dia akan melihat beg pakaian, tetapi hari ini beg pakaian itu tidak kelihatan di tempat biasa, jadi dia masih beranggapan ayahnya pergi kerja.

“Kadangkala Afi bertanya, bila ayahnya akan pulang. Saya hanya memberi alasan, nanti ayahnya akan balik, kadangkala dia suruh saya call ayahnya,” katanya.

Keluarga berkenaan bercadang mengebumikan jenazah Mohd Ghafar di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas.

“Kami sekeluarga mahu Allahyarham dikebumikan di sini, kerana berdekatan dengan rumah dan kubur anak saya,” ujar Normi yang kematian anak keduanya pada 2006 akibat kanser.

Manakala anak sulung pasangan berkenaan, Saimah Baizura, 27 tahun, seorang pramugari Singapore Airlines pula memberitahu, beliau masih mengharapkan jasad ayahnya dikenal pasti dan dibawa pulang.

Sejak kejadian itu, dia telah mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk menguruskan hal-hal berkaitan jenazah bapanya.

“Sebagai anak sulung, kini saya mengambil alih tanggungjawab daripada ayah. Rakan banyak memberi sokongan moral untuk saya sentiasa tabah dengan tragedi yang menimpa.

“Saya harap jasad ayah dapat dikenal pasti segera dan dikebumikan di sini,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong memaklumkan, pihak berkuasa Belanda mengenal pasti dua lagi mayat warga Malaysia, menjadikan 26 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 yang disahkan identiti mereka, setakat Ahad.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata 24 jenazah rakyat mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Belanda, iaitu 14 penumpang dan 10 anak kapal.

Susulan itu, kumpulan pertama jenazah rakyat Malaysia akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, pada jam 10 pagi 22 Ogos ini, dengan sebuah pesawat khas.

Tarikh itu juga adalah Hari Berkabung Negara dan satu istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi itu akan diadakan di Kompleks Bunga Raya KLIA, pada Jumaat depan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/08/18/keluarga-mahu-jenazah-cepat-dibawa-pulang/#ixzz3AiZNVkVX

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.