Exco Majlis Belia Maut Digilis Lori Kontena

Kuantan – Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) maut selepas dilanggar lori kontena, di perhentian bas berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP), kira-kira 3 kilometer dari Plaza Tol Gambang dekat Kuantan kira-kira jam 7.30 malam tadi.

SuaraTV difahamkan ketika kejadian, mangsa tiba dari Kuala Lumpur menuju Gambang dengan menaiki bas sebelum berhenti di perhentian bas berkenaan.

Sumber polis berkata, mangsa Abu Qassim Nor Azmi, 28 bertugas sebagai pegawai statistik di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya mati ditempat kejadian ekoran kecederaan parah.

Menurut saksi, Abu Qassim dilihat mahu menaiki kereta jenis Naza Forte yang dipandu isterinya sebaik sahaja turun dari bas sebelum digilis sebuah lori kontena.

“Arwah nak masuk pintu dibahagian pemandu sebelum lori rempuh dan gilis arwah.

“Keadaan jenazah hampir hancur” menurut saksi kepada SuaraTV sebentar tadi.

Saksi turut berkata, sebaik melanggar mangsa, pemandu lori tersebut memecut laju dan melarikan diri.

“Pemandu lori berkenaan melarikan diri sebaik kejadian terbabit namun pihak polis sudah mengenalpastinya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gambang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat mangsa yang berasal dari Taman Tuanku Gadut, Negeri Sembilan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat yang kemudianya dibawa ke Masjid Tanah Putih Baru, Kuantan untuk dimandi dan dikapankan.

Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampungnya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang hari ini untuk urusan pengkebumian.

Semasa hayatnya, Abu Qassim dikatakan seorang yang aktif dalam persatuan yang memperjuangkan isu-isu berkaitan belia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.