Dua Model Terbaru Subaru

Petaling Jaya – Pengedar eksklusif kenderaan Subaru di negara ini, Motor Image Malaysia mengembangkan lagi rangkaian produk kereta berprestasi tinggi menerusi pengenalan dua model generasi terbaru Subaru WRX dan WRX STI yang diimport sepenuhnya dari Jepun.

Subaru WRX yang hadir dengan rangkaian kuasa enjin 2.0 liter turbo pancitan ditawarkan dalam dua transmisi membabitkan enam kelajuan manual dan Sport Lineartronic dengan mod manual.

Enjin membekalkan kuasa maksimum sehingga 268 PS dan tork setinggi 350 Nm itu dijual pada harga RM229,800, selain menggunakan teknologi terkini iaitu Pacuan Semua Roda Bersimetri serta Pemboleh Ubah Agihan Tork bagi memberi pengalaman pemanduan lebih menarik.

Varian Subaru WRX STI adalah varian paling tinggi dengan bentuk badannya lebih lebar bagi memberi kestabilan dalam pengendalian. Kombinasi enjin boxer dengan Sistem Pemanduan Semua Roda Subaru turut memberi ciri piawaian terbaru bagi kenderaan berprestasi itu.

Enjin berkapasiti 2.5 liter pengecas turbo dengan padanan transmisi enam kelajuan nisbah pendek menyalurkan kuasa maksimum sehingga 300 PS, manakala 407 Nm bagi tork.

Harganya pula lebih tinggi dengan dijual pada RM269,800 dan kedua-dua varian itu ditawarkan dengan lima pilihan warna perak, putih, merah, hitam serta biru.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Motor Image Malaysia, Andrew Lee dan pelagak ngeri terkenal dari Britain, Russel Swift.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.