Anak Kerja Dengan Lim Guan Eng, Speaker Nafi Berat Sebelah

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau tidak akan bertindak berat sebelah walaupun anaknya merupakan setiausaha akhbar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Ini bukan perkara yang saya nak sorok, memang (anak saya bekerja dengan Lim), tapi anak saya 31 tahun, mungkin 32 tahun sekarang dan dia bebas bekerja di mana dan di bawah siapa pun.

“Jadi, ini saya ingat bukan penting. Yang penting sama ada saya bertindak secara bebas, tidak dipengaruhi sesiapa saja. Saya tak anggap perkara ini serius, ia normal,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian selepas ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) membangkitkan persoalan banyak pihak mempertikaikan keputusannya semalam menolak usul merujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan kerajaan terdahulu “merompak” wang pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Dakwaan Lim pada Ogos 2018 itu dikatakan mengelirukan Dewan Rakyat kerana hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendapati hasil kutipan GST tidak hilang, tetapi berlaku pelanggaran prosedur kerana RM19.4 bilion dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan, bukannya Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan undang-undang.

“Semalam, sepanjang hari sehingga pagi ini tersebar di media sosial yang saya kira boleh menjejaskan reputasi speaker,” kata Ismail Sabri merujuk perbincangan pengguna media sosial mengenai anak Ariff, Lufti Hakim Mohamad dan ada yang menganggap keputusan speaker menolak usul pembangkang sebagai konflik kepentingan.

Kekecohan tercetus disebabkan rasa tidak puas hati ahli Parlimen kerajaan terhadap kenyataan konflik kepentingan yang dibangkitkan Ismail Sabri.

“(Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer) jangan bangun bila saya bercakap. Duduk dulu, ini yang orang cakap tidak tahu adab,” kata Ismail Sabri.

Ia disusuli Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang sekali lagi bangkit membaca peraturan mesyuarat supaya beliau dibenar mengemukakan usul Lim dikenakan tindakan pada sidang Dewan Rakyat Oktober nanti.

Tetapi, beliau berkata, Ariff tidak boleh membuat keputusan berhubung usul itu bagi mengelakkan timbul konflik kepentingan.

Ariff bersetuju dengan permintaan ahli Parlimen Kuala Krau dan meminta wakil rakyat yang tidak berpuas hati dengan keputusannya supaya mencabarnya.

“Di sini, saya ingin meyakinkan (anda), saya akan cuba sedaya upaya bertindak secara bebas, kalau tidak bertindak secara bebas, tolong tegur dan bawa usul, saya akan tarik diri apabila usul ini dibincangkan.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.