Kumpulan Raihan Terus Sebar Mesej Dakwah Menerusi Lagu

KUALA LUMPUR — Lebih 20 tahun bertapak dalam arena seni, Raihan kini terus gah melebarkan sayapnya ke pentas dunia.

Cukup dikenali menerusi “Puji-Pujian”, kumpulan nasyid ini terus menyampaikan mesej dakwah menerusi lagu berbahasa Inggeris dan Arab.

“Kami baru pulang dari Dubai, Bangkok dan Jakarta. Insya Allah selepas ini kami akan ke Australia,” kata Che Amran Idris kepada ProjekMM.

Semasa di Dubai, mereka menjadi artis jemputan kumpulan nasyid negara-negara Timur Tengah seperti Algeria, Mesir, Kuwait dan Arab Saudi.

“Di sana kami lebihkan lagu yang sesuai dengan mereka iaitu berbahasa Arab dan Inggeris sebab mereka tiada masalah untuk faham.

“Kami juga selitkan lagu puji-pujian, selawat dan pergendangan Melayu seperti rebana, kompang dan lain-lain.

“Mereka melihat ia sesuatu yang berbeza dan berasa terhibur.”

Memulakan langkah pada 1996, Raihan kini hanya dianggotai tiga orang termasuk Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim.

Nazrey Johani dulunya penyanyi utama kumpulan ini namun memilih membawa haluan sendiri pada 2007.

Menggondol lebih 15 trofi Anugerah Industri Muzik, Raihan pernah mengadakan persembahan di Perancis, Hong Kong dan Kanada.

Che Amran berkata Raihan tidak berhasrat menghasilkan lagu baharu dan mengekalkan yang lama bagi menambah nostalgia kepada peminat.

“Kami masih menyanyikan lagu lama dalam apa jua program yang kami pergi kerana mereka mahu merasakan nostalgia dan sudah menghafalnya.

“Bila kami mengadakan persembahan luar, kami akan membuat susunan khas, tidak sama seperti dalam album, jadi ia membangkitkan suasana berbeza.

“Walaupun kami bertiga, dibantu pemuzik dan susunan lagu yang berbeza, mereka merasakan persembahan itu menarik,” katanya.

Tidak mengabaikan peminat tempatan, Che Amran berkata Raihan masih menerima undangan namun kurang mendapat publisiti.

Katanya, Raihan kini lebih banyak diundang di majlis persendirian selain melebarkan sayap dakwah kepada golongan bukan Islam.

“Di sini pun kami banyak buat persembahan seperti di majlis khas namun tidak diuar-uarkan di media.

“Sekarang kami banyak menerima jemputan di masjid malah kepada golongan bukan Islam dan anak yatim,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.