Jangkitan HFMD Paksa Enam Pra Sekolah Di P.Pinang Ditutup

GEORGE TOWN – Enam prasekolah di Pulau Pinang antara premis terbaharu yang terpaksa ditutup susulan penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri itu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKNPP) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua prasekolah berkenaan terpaksa ditutup selama 10 hari sejak semalam berikutan beberapa pelajarnya dijangkiti penyakit itu.

Selain prasekolah, 26 lagi premis membabitkan sekolah rendah, taska, tadika dan pusat jagaan di negeri itu masih ditutup sehingga hari ini.

“Sehingga semalam premis yang ditutup membabitkan tujuh buah sekolah rendah, tujuh buah taska, 11 buah tadika, enam buah pra sekolah dan sebuah pusat jagaan.

“Semua lokaliti itu ditutup berikutan terdapat kes HFMD di premis tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehingga semalam, JKNPP memaklumkan Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 2,082 kes HFMD sejak Januari lalu, iaitu peningkatan sebanyak 93.5 peratus berbanding 1,076 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Seramai 10 kanak-kanak berusia setahun hingga 10 tahun kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan hospital swasta berikutan dijangkiti HFMD manakala 11 kanak-kanak yang dijangkiti HFMD telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.

Dalam pada itu, JKNPP turut memaklumkan telah membuat pemeriksaan ke atas 807 daripada 854 fasiliti membabitkan sekolah rendah, pra sekolah, tadika dan taska di negeri ini bagi membuat pemantauan kes HFMD di premis berkenaan. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.