Annuar ‘Tak Setuju’ Dakwaan Zahid Hanya Tomato Turun Harga

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berkata kerajaan Pakatan Harapan nampaknya lebih ingin mencari salah pentadbiran lepas ketika harga barangan tidak banyak berbeza dengan sebelum ini.

Zahid berkata satu-satunya harga barangan yang turun setakat ini ialah harga tomato.

“Kerajaan sekarang seolah mahu mencari salah. Mahu siasatan seolah dendam. Apa yang rakyat mahu sekarang adalah perubahan. Macam mana nak kata ada perubahan kalau harga barang tak turun?” katanya semasa membahaskan titah Agong hari ini.

Ketika ini Tan Sri Annuar Musa (BN-Keterah) mencelah dan “menegur” ketuanya.

“Saya tidak setuju hanya harga tomato sahaja turun, sebab harga saham turun, harga sawit turun, harga getah turun, nilai ringgit turun,” katanya disambut gelak ketawa di dalam Dewan Rakyat.

Kemudian Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pula menegur Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kerana kenyataan mengatakan harga sayur-sayuran dan buah-buahan turun antara 30% hingga 50% selepas kadar GST disifarkan.

“Sedangkan kita tahu barang-barangan itu tidak pernah dikenakan GST. Di mana logiknya seorang menteri boleh buat andaian begitu?” katanya kepada Zahid.

Ketua pembangkang meminta rakan-rakannya supaya lebih memaafkan seorang menteri yang masih baru.

“Selepas 100 hari kalau buat kesilapan, kita lakukan apa yang patut. Sekarang kita maafkan kelemahannya,” kata Zahid.

PH celah isu 1MDB

Kemudian RSN Rayer (PH-Jelutong) pula mencelah dan meminta Zahid menjawab adakah skandal 1MDB salah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Razak.

“Warisan siapa? Saya tuntut penjelasan,” katanya.

Tindakan itu bagaimana ditegur Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) yang berkata Rayer tidak wajar menuduh Najib bersalah ketika ia belum dibuktikan di mahkamah.

“Macam kes Bagan (Lim Guan Eng-PH) yang dihadapkan ke mahkamah tetapi belum dibuktikan bersalah. Kita tak boleh kata dia bersalah,” katanya.

Ismail merujuk kepada perbicaraan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung pembelian banglo yang didakwa di bawah harga pasaran dan penukaran sebidang tanah.

Pejuang bangsa, agama rasis?

Meneruskan ucapannya, Zahid meminta kerajaan supaya tidak menganggap pihak yang cuba mempertahankan agama dan bangsa seperti pengganas.

Zahid mengingatkan kedudukan agama dan bangsa ini sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah orang yang mempertahankan agama, bahasa dianggap rasis? Adakah orang yang nak pertahan agama, pertahan bahasa kebangsaan dianggap pengganas,” katanya. – Fmt

One thought on “Annuar ‘Tak Setuju’ Dakwaan Zahid Hanya Tomato Turun Harga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.