Pegawai Kanan JPJ Dihukum Denda Kesalahan Memandu Di Lorong Kecemasan

PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan, tahun laku.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman turut memerintahkan Yusoff menjalani hukuman penjara tambahan 7 bulan, jika gagal membayar denda itu.

Yusoff tidak hadir ke mahkamah dan pengakuan itu dibuat menerusi wakilnya.

Wakilnya yang enggan dikenali ketika prosiding di dalam kamar berkata, ketika kejadian, Yusoff sedang melakukan pemantauan.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016 di Lingkaran Putrajaya.

Tindakannya bertentangan Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan dia didenda mengikut Seksyen 119(1)(c) Akta Pengangkutan 1987.

Pada 23 Jun lalu, Yusoff dilaporkan berkata, JPJ tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan, khasnya ketika musim perayaan.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan kerana jumlah saman yang dikeluarkan pihaknya untuk pelbagai kesalahan meningkat dari semasa ke semasa. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.