Faiz Subri Memang Istimewa, Mampu Lakukan Lagi Sepakan Ajaib – Zainal Abidin Hassan

PETALING JAYA – Memang kelebihannya dalam sepakan percuma, demikian diakui Zainal Abidin Hassan.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang itu memberitahu, kelebihan yang ada dalam diri Mohd Faiz Subri memang tidak boleh dinafikan lagi selepas nyaris menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika aksi Liga Super bertemu Melaka United pada Ahad.

Bagaimanapun sepakan itu terkena palang dan S.Kumaahran pantas menanduk pantulan bola tersebut ke arah gol pada minit ke-61.

“Dia (Faiz) menggunakan sebaiknya kelebihan yang dimiliki itu. Apa yang penting, Faiz sentiasa berusaha untuk memperbaiki sepakan percuma.

“Pada perlawanan semalam (Ahad) dia nyaris melakukan sepakan seperti yang dibuat sebelum ini. Namun terkena palang. Tetapi ia tetap menarik,” jelasnya kepada mStar Online.

Tambah Zainal, sebelum ini nama Faiz jarang berada dalam senarai utama kerana pemain berusia 29 tahun itu dalam proses pemulihan.

“Ketika saya mengambil alih pasukan ini, Faiz masih lagi cedera dan menjalani proses pemulihan. Sebab itu dia tidak ‘fit’ untuk disenaraikan sebagai pemain utama sebelum ini.

“Tetapi dia seorang pemain yang kuat semangat kerana sentiasa berlatih bersungguh-sungguh sehinggalah berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan pemain utama.

“Dia jenis pemain yang tidak mensia-siakan peluang di padang. Beberapa pemain lain kadang-kala tidak cuba mempertahankan posisi masing-masing.

“Dan saya yakin jika dia terus bekerja keras, sepakan ajaib dan unik yang dia lakukan dulu akan berlaku lagi,” kata Zainal.

Selain menjadi tumpuan dalam sepakan percuma tersebut, pemenang Puskas 2016 itu juga berjaya mengejutkan pihak lawan dengan gol pertama buat Harimau Kumbang itu seawal minit kelima permainan.

Untuk rekod, jaringan ajaib dilakukan Faiz ketika membantu pasukan Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang di Stadium Bandaraya pada 16 Februari 2016. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.