Duterte Tawar Pemerintahan Autonomi Di Selatan Filipina

MANILA – Presiden Rodrigo Duterte menawarkan pemerintahan sendiri kepada minoriti Islam Filipina hari ini dalam usaha menumpaskan militan Islam yang menawan sebuah bandar selatan, tindakan yang mencabar pemerintahannya.

Duterte berharap janji autonomi akan meyakinkan orang Islam Filipina untuk menolak kumpulan IS, yang masih menawan sebahagian daripada Marawi hampir 2 bulan selepas pertempuran yang meragut nyawa lebih 500 orang.

Duterte berikrar akan memandu rang undang-undang “Undang-Undang Asas Bangsamoro” yang ditulis dan diserahkan kepadanya semalam oleh pegawai kerajaan dan kumpulan gerila Islam terbesar Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Saat ini langkah terbesar dalam usaha kita menamatkan abad kebencian, ketidakpercayaan dan ketidakadlilan yang meragut dan menjejaskan jutaan nyawa rakyat Filipina,” katanya dalam ucapan kepada pemimpin MILF dan pegawai kerajaan.

Kedua-dua belah pihak berkata ia memberikan pilihan lebih baik kepada minoriti Islam yang daif dalam negara majoriti Kristian Katolik itu langkah penting ke arah mencantas tarikan ekstremisme.

“Orang-orang tersesat jalan itu mengisi ruang kosong yang tercipta akibat kegagalan kita mewujudkan undang-undang asas, yang menyumbang kepada kemarahan rakyat kita,” kata Pengerusi MILf Murad Ebrahim pada perhimpunan itu, merujuk kepada kumpulan bersenjata di Marawi.

Orang Islam melancarkan pemberontakan yang meragut lebih 100,000 nyawa di wilayah Mindanao termasuk Marawi sejak 1970-an.

MILF menandatangani perjanjian damai dengan presiden terdahulu, Benigno Aquino, pada 2014 tetapi Kongres enggan meluluskan usul pemerintahan sendiri – syarat utama dalam perjanjian itu.

Beberapa golongan pemberontak kemudian mengisytiharkan taat setia kepada IS tidak lama kemudian. Serangan Marawi bermula pada 23 Mei merupakan tindakan besar pertama mereka, memaksa Duterte mengenakan undang-undang tentera di seluruh Mindanao.

Ketua perunding kerajaan, Irene Santiago, berkata Manila menjangkakan rang undang-undang itu akan diluluskan dalam masa setahun.

“Dalam 12 bulan seterusnya dipenuhi pelbagai peluang tetapi juga bahaya. Bahaya yang didepan mata kita: ekstremisme ganas, sumber krisis di Marawi,” kata Santiago.

Wilayah Autonomi Islam Mindanao diwujudkan di beberapa kawasan di selatan negara itu sejak kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Bangsa Moro (MNLF) menandatangani perjanjian damai dengan Manila pada 1996.

Bagaimanapun ia gagal menamatkan pemberontakan dan keganasan.

Santiago berkata MILF dan MNLF membantu merangka usul itu dan kedua-dua pihak optimis ia diluluskan.

Duterte dijangka memutuskan mengenai pelanjutan pemerintahan tentera di Mindanao dalam minggu ini.

Perlembagaan menghadkan tempoh pemerintahan tentera dalam masa 60 hari, perlindungan yang diletakkan selepas terjatuhnya pemerintahan diktator Ferdinand Marcos.

Kongres bagaimanapun boleh meluluskan pelanjutan.

Tentera berkata masih ada 60-80 orang bersenjata berkubu dalam 500 rumah dan bangunan di Marawi selepas pengeboman udara dan artileri siang dan malam dalam minggu-minggu kebelakangan ini.

Kira-kira 300 orang awam masih terperangkap di kawasan itu dan kebanyakan mereka diambil sebagai tebusan, kata tentera. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.