100,000 Guna MRT Hari Pertama Laluan Sungai Buloh – Kajang Beroperasi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 100,000 pengguna direkodkan menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) pada hari pertama operasi dibuka kepada umum semalam.

Ketua Eksekutif Pe­ngarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, sambutan itu memberi gambaran penerimaan positif rakyat khususnya warga kota untuk bersama-sama memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama untuk ke pusat bandar.

“Saya cukup bangga mereka mengambil peluang untuk menggunakan MRT sebagai pengalaman mereka sendiri.

“Ini membolehkan kita memberi gambaran positif kepada orang ramai khususnya yang masih tidak menggunakan perkhidmatan awam sebelum ini untuk menggunakannya,” katanya selepas melakukan lawatan kerja bersama media di jajaran MRT laluan SBK di sini hari ini.

Azmi berkata, sehingga kini, seramai 2.7 juta pengguna telah menerima manfaat itu sejak MRT Fasa Satu di buka pada Disember tahun lalu.

“Saya percaya dengan pembukaan sepenuhnya MRT laluan ini akan meningkatkan lebih ramai pengguna kerana ia mempunyai jajaran yang berintergrasikan dengan stesen rel sedia ada,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.