Teluk Bahang Di P.Pinang Lumpuh Dilanda Banjir Kilat Petang Tadi

TELUK BAHANG – Dalam sejarah, begitulah yang dikatakan penduduk terhadap kejadian banjir kilat yang berlaku di sini petang tadi.

 

Hujan berterusan dalam tempoh lebih lima jam menyebabkan air naik mendadak.

 

Malah ada penduduk tidak sempat mengalihkan kenderaan sehingga ditenggelami air banjir.

 

Penduduk, Razman Isa, 36 berkata, dia tidak pernah melihat air banjir naik secepat itu di Teluk Bahang.

 

“Biasanya kalau banjir kilat biasa saja, sampai lutut dan air tidak laju. Berbeza kali ini bila air juga laju seperti arus deras.

 

“Memang kali pertama kami lihat keadaan sebegini, lebih kurang 10 biji kereta saya lihat tenggelam,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Beberapa penduduk dilihat turut bekerjasama membantu mengalihkan kenderaan yang hampir tenggelam.

 

Bagi peniaga makanan, Roslina Ayob, 43 berkata, dia tidak sempat menjalankan perniagaan seperti biasa.

 

“Saya terpaksa simpan semula lauk yang dimasak seawal jam 12 tengah hari selepas melihat air naik mendadak.

 

“Nasib baik tindakan saya betul kerana kemudiannya kedai saya dinaiki air sehingga paras lutut, kereta saya juga hampir tenggelam, tetapi kemudiannya dialihkan ke kawasan masjid dengan segera,” katanya.

 

Sementara itu Adun Teluk Bahang, Shah Headan Ayoob Shah ketika dihubungi berkata, banjir kilat itu bermula seawal jam 1 petang.

 

Menurutnya, sebelum itu hujan berterusan sejak awal pagi lagi.

 

“Hujan tidak lebat mana tetapi ia tidak berhenti, pada saya ini adalah kejadian banjir yang agak luar biasa.

 

“Lebih 400 keluarga terjejas terutama di Kampung Teluk Awak dan sekitar kawasan rumah pangsa,” katanya.

 

Shah Headan berkata, pihaknya mengadakan majlis gotong-royong bagi menyediakan makan malam buat penduduk yang terjejas.

 

“Dalam masa yang sama saya akan melihat apa punca sebenar banjir ini, ada kemungkinan air pasang bertembung dengan hujan lebat ataupun kemungkinan gara-gara bukit kita yang semakin botak.

 

“Saya akan melihat perkara ini secara terperinci kerana banjir sebegini tidak pernah terjadi, dan ia amat mengejutkan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.