Suri Rumah Dijangkiti Difteria Kini Stabil

SEREMBAN – Seorang suri rumah di Rembau yang menjadi orang dewasa pertama di negara ini dijangkiti difteria, dilapor berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini.

 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Abd Rahim Abdullah, berkata demam wanita berusia 41 tahun itu semakin berkurangan.

 

“Dia dikuarantin sehingga semua tanda difteria hilang, sekurang-kurangnya 10 hari atau 14 hari. Jika perlu, dia akan dikuarantin di rumah,” katanya selepas majlis perasmian Perkhidmatan Terapi Sensori Integrasi di Klinik Kesihatan Seremban 2, di sini, hari ini.

 

Dr Abd Rahim berkata, suami dan enam anak mangsa yang berusia antara lapan hingga 21 tahun, turut diberi vaksin pelalian untuk memastikan tidak dijangkiti penyakit itu.

 

Katanya, darah ahli keluarga dan orang yang ada berhubung dengan mangsa, termasuk kakitangan Klinik Kesihatan di Rembau yang mengendalikan kes suri rumah itu, turut diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan untuk diuji.

 

Suri rumah itu demam pada 11 Julai lalu dan mengadu tonsil membengkak, serak suara serta sukar menelan menyebabkannya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai.

 

Dia yang disyaki menghidap difteria, dirujuk ke HTJ dan dimasukkan ke wad untuk pengasingan serta rawatan.

 

Hasil ujian darah di Institut Penyelidikan Perubatan mengesahkannya positif difteria. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.