Perkataan ‘Api’ Dikesan Dalam Rakaman Suara Pesawat Egyptair

KAHERAH – Perkataan ‘api’ berjaya dikesan pada peti rakaman suara di kokpit sebelum pesawat EgyptAir 804 dilaporkan terhempas ke dalam Laut Mediterranean, Mei lalu.

 

Jawatankuasa siasatan insiden tersebut berkata, rakaman data daripada satu lagi kotak hitam yang dijumpai di lokasi nahas turut mengesahkan bahawa siren amaran asap telah berbunyi sebelum pesawat itu terhempas.

 

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menentukan sebab atau di mana kebakaran itu bermula,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan di sini.

 

Menurut jawatankuasa tersebut, rakaman data terhadap isyarat asap yang menunjukkan kebakaran itu dikesan berlaku di bahagian tandas dan avionik pesawat berkenaan.

 

Data dalam rakaman suara itu dimuat turun awal bulan ini selepas ia diperbaiki.

 

Ketika kejadian, pesawat Airbus A320 yang dalam perjalanan dari Paris ke Kaherah itu membawa 66 orang penumpang dan anak kapal yang terdiri daripada warga Mesir, Perancis, Iraq, Kanada, Algeria, Belgium, Britain, Chad, Portugal, Arab Saudi dan Sudan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.