PAS Jadi Rujukan Dunia, Tak Perlu Ikut Erdogan, Kata Dr Azman

PETALING JAYA – Seorang pemimpin PAS Terengganu menganggap parti Islam itu antara paling berpengalaman di dunia dan tidak perlu mengikut mana-mana model luar Malaysia termasuk kepimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Tunisia mahupun Mesir.

 

“Pergi berjalan seminggu ke Turki, dia balik dengan berdegar-degar bawak idea orang Turki, pergi pula 5 hari ke Tunisia, dia balik dengan idea-idea made in Tunisia. Pergi ke Mesir, terpikat pula dengan cara Mesir!” kata ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim dalam kenyataan diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily, hari ini.

 

Beliau mengulas beberapa kritikan dilemparkan terhadap PAS yang membandingkannya dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdogan, yang baru-baru ini menerima sokongan rakyat Turki selepas berjaya menumpaskan cubaan rampas kuasa tentera.

 

Kumpulan “Erdogan” juga merupakan label yang sering diberikan kepada golongan profesional dalam PAS, yang kalah teruk dalam pemilihan parti tahun lepas, digantikan dengan kepimpinan yang menyokong golongan konservatif dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan anggota Dewan Ulama.

 

Antara kritikan dilemparkan terhadap PAS, menurut Dr Azman, ialah PAS banyak bercakap tentang Islam tetapi ditolak rakyat, sebaliknya AKP tidak bercakap Islam tetapi dipertahankan rakyat.

 

“Kalau ada lagi mana-mana kudeta yang berhasil ditumpaskan rakyat di mana-mana negara lain, orang seperti ini akan bercakap supaya PAS ikut stail parti yang memerintah negara tersebut pula,” kata Dr Azman.

 

“Begitulah kelompok ini akan terus menjadi lalang tanpa identiti dan prinsip perjuangan.”

 

Katanya, PAS merupakan antara parti Islam paling berpengalaman di dunia dan Hadi pula menjadi rujukan tokoh gerakan Islam antarabangsa.

 

“Hanya orang buta dan pekak saja yang kata PAS hanya berslogan tanpa perlaksanaan.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.