Enam Murid Cedera, Atap Sekolah Terbang Dipukul Ribut

JOHOR BAHRU — Enam murid lelaki Sekolah Agama Bandar Selesa Jaya di Skudai, di sini cedera terkena serpihan kayu dan siling yang jatuh ke dalam kelas selepas bumbung blok sekolah itu diterbangkan angin kencang petang tadi.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kejadian kira-kira 3.40 petang itu turut melibatkan bumbung blok bersebelahan tetapi tiada mangsa yang terlibat.

 

“Kejadian berlaku ketika enam murid darjah empat yang berada dalam kelas itu baru sahaja memulakan sesi pembelajaran yang bermula pada pukul 3.30 sehingga 6.30 petang,” katanya kepada pemberita ketika melawat sekolah berkenaan petang ini.

 

Nur Jazlan berkata selain enam murid berumur 10 tahun itu, kejadian terbabit turut menyebabkan tiga kereta guru sekolah berkenaan mengalami kerosakan ringan akibat dihempap bumbung yang jatuh.

 

Beliau berkata tinjauannya di situ, mendapati bumbung di dua blok terbabit yang ditukar lapan bulan lepas adalah tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerana menggunakan bahan ringan sehingga mudah diterbangkan angin.

 

Sehubungan itu, Nur Jazlan mahu siasatan terperinci dilakukan segera terhadap kejadian tersebut termasuk pihak yang bertanggungjawab terhadap pemilihan jenis bumbung dan pemasangannya.

 

“Saya kecewa dengan kejadian ini. Kita tidak patut memandang ringan kerana keselamatan di sekolah merupakan perkara nombor satu yang perlu diutamakan,” katanya.

 

Beliau berkata kesemua murid yang cedera termasuk di kepala, tangan dan pinggang itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini, untuk mendapatkan rawatan.

 

Sementara itu, guru besar sekolah tersebut Mohd Nor Hamsin berkata seramai 87 murid dan tujuh guru melibatkan beberapa kelas sedang memulakan sesi pembelajaran seperti biasa sebelum hujan lebat dan angin kencang melanda.

 

“Angin memang bertiup kencang dan saya sendiri tidak sangka ia sampai mengakibatkan bumbung tercabut dan diterbangkan angin,” katanya sambil menambah sekolah itu sudah beroperasi sejak 12 tahun lepas. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.