Video : Obama Dan Putin Antara Yang Simpati Dengan Nahas #MH17

Moscow – Presiden Barack Obama menyatakan Ameria Syarikat (AS) sedia menawarkan sebarang bantuan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines itu dan sedang menghubungi pihak Ukraine bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Kami juga sedang menyemak sama ada terdapat rakyat AS yang terlibat kejadian itu,” katanya yang dipetik dalam siaran televisyen BBC yang disiarkan secara langsung malam ini.

Manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan simpati dan mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung insiden pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine dan berhampiran sempandan negaranya.

Menurut laman web Kremlin, beliau telah “meminta supaya kerajaannya menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan sokongan kepada keluarga dan juga mereka yang mempunyai pertalian dengan mangsa kejadian,”

Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang membawa 295 penumpang beserta anak kapal yang dilaporkan terhempas di Ukraine dipercayai ditembak oleh peluru berpandu pada pukul 2.15 petang (GMT) selepas berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 petang (GMT).

Dalam perkembangan yang sama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut melahirkan perasaan terkejut dan sedih beliau apabila mendapat perkhabaran mengenai pesawat Malaysia Airlines yang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia.

Dalam catatan Facebook beliau, Lee berkata: “Doa dan harapan kami bersama penumpang dan anak kapal, serta keluarga mereka.”

Terdahulu, media asing melaporkan sebuah pesawat penumpang Malaysia Boeing 777 yang membawa 295 penumpang dan anak kapal terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dipetik sebagai berkata belum ada pengesahan pesawat itu ditembak.

Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 petang (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari berikutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.