#MH17: 298 Jumlah Penumpang, 43 Rakyat Malaysia Termasuk 2 Bayi

Kuala Lumpur – Malaysia Airlines (MAS) hari ini menjelaskan, penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine, pada Khamis, sebenarnya membawa 298 orang.

Ia termasuk 15 anak kapal warga Malaysia, serta 283 penumpang pelbagai warganegara, termasuk tiga bayi.

Jumlah penumpang dan anak kapal mengikut warganegara adalah, Belanda seramai 154 orang; 43 rakyat Malaysia (termasuk 15 anak kapal dan dua bayi); 27 warga Australia; 12 rakyat Indonesia (termasuk seorang bayi), United Kingdom (sembilan orang); Jerman (empat orang); Belgium (empat orang); Filipina (tiga orang); Kanada (seorang); dan yang tidak disahkan identiti seramai 41 orang.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, pesawat Boeing 777-200 itu membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Menurut MAS, syarikat itu dalam proses memaklumkan waris terdekat penumpang dan anak kapal.

“Fokus kami sekarang adalah bekerjasama dengan pasukan bantuan kecemasan dan pihak berkuasa dan menggerakkan sepenuh sokongannya bagi menyediakan bantuan penjagaan sebaik mungkin kepada waris terdekat,” demikian menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines turut menggerakkan “Go Team” ke Amsterdam, dengan sekumpulan penjaga dan sukarelawan membantu anggota keluarga penumpang.

“Doa dan harapan kami bersama penumpang dan anak kapal yang terlibat dan anggota keluarga mereka,” kata syarikat penerbangan itu.

Anggota keluarga penumpang dan anak kapal boleh menghubungi talian +603 7884 1234 (Malaysia) atau +31703487770 (Belanda) untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung tragedi itu.

Dalam pada itu, MAS mengumumkan semua penerbangan ke Eropah yang dikendalikan syarikat berkenaan akan menggunakan laluan alternatif, bagi mengelakkan laluan biasa, berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan tragedi yang menimpa penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, yang terhempas di timur Ukraine, pada Khamis.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, laluan penerbangan biasa yang merentasi Ukraine yang sedang bergolak itu, pada mulanya diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan.

MAS mengesahkan pesawat MH17 tidak membuat sebarang panggilan kecemasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.