Belum Ada Pengesahan Penerbangan MH17 Ditembak Jatuh

Kuala Lumpur – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata buat masa ini beliau tidak dapat mengesahkan laporan berita berhubung sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau akan bergegas pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin daripada lawatannya rasminya di Beijing ketika ini.

“Saya tidak dapat sahkan berita itu. Malaysia Airlines (MAS) akan keluarkan kenyataan. Namun saya akan kembali ke Malaysia secepat mungkin kerana saya perlu tangani perkara ini dengan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Liow berada di China untuk bertemu rakan sejawatannya dan berbincang berhubung usaha mencari pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.

Selepas China, Liow juga akan melawat Australia untuk bertemu wakil tiga negara untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya berhubung misi pencarian pesawat MAS Penerbangan MH370.

Berdasarkan laporan Reuters, sebuah pesawat MAS yang membawa 295 penumpang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis, agensi berita Interfax memetik sumber industri penerbangan sebagai berkata.

Pesawat Boeing itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, kata laporan itu.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan berita itu.

Laporan Interfax berkata kedudukan pesawat itu terhempas 50km tidak jauh daripada ruang udara Rusia.

Manakala menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, belum ada pengesahan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh.

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia masih menyiasat laporan berita oleh agensi berita antarabangsa bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh berhampiran sempadan Ukraine dan Rusia.

“Tiada pengesahan ia telah ditembak jatuh, tentera kita telah diarah untuk menyiasat. Saya juga sedang berhubung dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam tweet beliau hari ini.

Agensi berita antarabangsa melaporkan pesawat Malaysia, Boeing 777 yang membawa 295 penumpang dan anak kapal terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia hari ini.

MAS dalam tweet terbaharunya berkata ia terputus hubungan dengan MH17 dan kedudukan terakhir pesawat itu di ruang udara Ukraine.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.